Kelulusan ‘disko’ dalam tren cacat imej Malaysia Madani

Dr Zulkeflee Yaacob
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelulusan penganjuran hiburan ala disko yang diadakan di gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dianggap mencacatkan lagi imej Malaysia Madani.

- Advertisement -

Pakar Penasihat Jawatankuasa Keluarga, Wanita dan Kebajikan Kelantan, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, kebenaran penganjuran festival hiburan seperti itu dianggap pertama di Asia Tenggara.

Katanya, difahamkan festa terbabit sebagai acara pembukaan menjelang pascapesta Pinkfish Festival yang akan diadakan di Lembah Klang bulan depan.

“Penganjuran parti liar dalam gerabak kereta api langsung tidak selari dengan hasrat kerajaan berpaksikan slogan Malaysia Madani.

“Malah ia menodai rukun negara kelima Madani iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ serta mempalit maruah dan imej buruk negara.

“Ia sangat memalukan rakyat Malaysia biar apa pun alasan kerana kasus adat ketimuran bukan hiburan melampau dari kompas Hong Kong atau Korea,” katanya di sini.

Baru-baru ini, viral video memaparkan acara hiburan yang berlangsung dalam gerabak milik KTMB di media sosial.

Video terbabit memaparkan suasana gerabak dilengkapi lampu berwarna-warni selain terdapat pengunjung menari sambil mendengar lagu.

Menurut portal berita program dikenali Pinkfish Express diadakan pada 16 Mei lalu.

Berikutan itu KTMB pada kenyataan memaklumkan penyewa terbabit mematuhi syarat ditetapkan pihaknya.

Bagaimanapun katanya KTMB akan menambah baik dan mempertingkatkan garis panduan perkhidmatan tren sewaan khasnya demi kepentingan orang awam dan syarikat itu.

Difahamkan sewaan tren terbabit diadakan sempena ulang tahun ‘Pinkish Festival’ bagi perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah.

Dr Zulkeflee juga berkata, sepatutnya kerajaan menjalankan kempen-kempen yang selari dengan slogan ‘Kerajaan Madani’ dan bukannya pesta bergerak dengan mengetepikan isu moral.

“Pesta bergerak di atas pengangkutan awam yang mengundang pergaulan bebas atau perilaku sumbang di samping mabuk tidak sepatutnya berlaku dalam gerabak kereta api,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/5/2024

- Advertisement -