Janggal pejuang gerakan Islam tidak ikuti program tarbiah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli-ahli dan penyokong PAS seharusnya berbangga kerana parti itu mempunyai sistem tarbiah yang lengkap dan tersusun bagi memantapkan kefahaman pendukung Islam.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Tarbiah PAS Negeri Kelantan, Prof Emeritus Dato’ Dr Johari Mat berkata, usrah sebagai sebahagian daripada elemen tarbiah menjadi medan tempat pertemuan dan bersilaturahim.

Katanya, ahli-ahli usrah yang hadir membincangkan setiap masalah yang timbul dalam masyarakat.

“Ilmu dan maklumat yang kita dapat dalam usrah tidak sama dengan kuliah di masjid kerana pendekatan usrah ada ruang setiap ahli menyampaikan pandangan.

“Asas tarbiah ialah memberi kefahaman ilmu Islam secara lebih mendalam,” katanya pada sesi Jaulah Lajnah Tarbiah PAS negeri ke PAS Kawasan Kota Bharu, semalam.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua Kota Bharu, Nor Azariza Mohd Alawi; ADUN Bunut Payong, Shaari Mat Yaman, Ketua Penerangan PAS Kawasan, Nasruddin Mahmud dan ahli-ahli jawatankuasa PAS Kota Bharu.

Sebelum itu taklimat program usrah disampaikan Pegawai Tarbiah PAS Kelantan, Ahmad Huzaifah Fauzi.

Nor Azariza pula berkata, program tarbiah dan gerakan Islam tidak dapat dipisahkan kerana ia diibaratkan sebagai irama dan lagu.

“Sangat janggal seseorang yang mengaku berada dalam gerakan Islam tetapi tidak mengikuti nizom tarbiah dengan sempurna.

“Nabi Muhammad SAW mendapat tarbiah terus dari langit dan menjadikan baginda seorang yang kental menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi dalam perjuangan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/5/2024

- Advertisement -