PAS ucap selamat menyambut Hari Wesak

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di seluruh negara dengan harapan sambutan hari penting untuk memperingati perjalanan hidup pengasas ajaran itu, iaitu Siddharta Gautama Buddha, pada tahun ini akan berjalan dengan lancar dan sempurna.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, nilai-nilai murni yang dibawa oleh ajaran Buddha seperti tidak melakukan kejahatan atau kerosakan bagi mencapai kebijaksanaan, kasih sayang dan pembebasan daripada kesengsaraan merupakan ajaran abadi yang sangat diperlukan dalam dunia yang semakin kacau serta tidak selamat kini.

“Pengamalannya secara meluas dan konsisten boleh menjadi obor harapan ke arah usaha menzahirkan kehidupan yang lebih sejahtera dan bermakna baik kepada individu dan lebih-lebih lagi masyarakat.

“Sama seperti semua sambutan atau perayaan agama dan budaya di negara ini, PAS berharap ia akan membantu kita memperkukuh kehidupan beragama dan berbudaya dalam masyarakat sebagai sebahagian daripada usaha untuk membentuk sebuah negara yang berperibadi mulia, unggul dan membina,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dalam kenyataan, hari ini. – HARAKAHDAILY 22/5/2024

- Advertisement -