KOTA BHARU: Skuad Kito Cakna (SKC) yang ditubuh di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri menyantuni puluhan ribu penduduk di seluruh Kelantan setiap tahun.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, penduduk yang diziarahi SCK menerima sedikit sumbangan daripada kerajaan negeri.
Katanya penduduk diziarahi SKC dalam kalangan mereka yang ditimpa musibah, orang sakit terlantar, ibu bersalin dan sebagainya.
“Saya berharap aktiviti SKC mendapat penglibatan dari semua wakil rakyat dan isteri masing-masing untuk turun ke kampung-kampung,” katanya ketika merasmikan Himpunan Skuad Kito Cakna di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI, di sini semalam.
Sempena himpunan tersebut Rohani menyerah cek bernilai RM5,500 dan sijil penghargaan kepada semua wakil rakyat yang hadir bagi tujuan tabungan SKC DUN dan pengurusan program.
Beliau juga berkata, himpunan SKC diadakan bertujuan untuk membantu penyelarasan dan memantapkan gerak kerja SKC ke arah lebih baik dan tersusun.
“Program SKC semakin dikenali ramai berikutan petugas SKC sentiasa aktif dalam menyalurkan sumbangan kebajikan kepada penduduk yang memerlukan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/5/2024