Negara kehilangan ulama tertua

Haji Mad Bilal khatam al-Quran sebanyak 3,000 kali dengan cara mengkhatam al-Quran setiap tiga hari sekali.
- Advertisement -

SEBUTIR lagi permata negara hilang. Kepergian seorang ulama yang tertua di Kampung Tok Plu, Pedu, Kedah pada 19 Mei 2024, ternyata kehilangan buat negara.

Tuan Guru Haji Muhammad Daud atau dikenali sebagai Haji Mad Bilal menghembuskan nafas terakhir beliau dunia akibat sakit tua pada usia 120 tahun. Tempoh kehidupan yang boleh dikatakan agak panjang.

- Advertisement -

Dilahirkan kira-kira pada tahun 1900an di Kampung Kuala Bekah, Patani, keluarga Allahyarham berasal dari Kampung Bana, Chenak, Songkhla.

Pada usianya belasan tahun, beliau bersama-sama keluarganya telah berhijrah ke Tanah Melayu dan menetap di Kampung Tong Plu, Kedah sehingga kini akibat kesusahan hidup yang ditindas oleh kerajaan Siam pada ketika itu.

Di sana, beliau meraih pendidikan di Pondok Kepala Batas yang diasaskan sendiri oleh guru beliau, Tuan Guru Baba Haji Salleh Seka – seorang ulama Patani yang turut berhijrah ke Tanah Melayu kerana diburu tentera Siam, dan telah mendirikan pondok pengajian tetapi tidak lama kerana setelah beberapa tahun beliau berhijrah ke Mekah dan menetap di sana sehingga akhir hayatnya.

Nama Haji Mad Bilal adalah panggilan penghormatan beliau sebagai bilal sewaktu beliau di pondok.

Pada sekitar tahun 1980an, beliau pernah membuka kelas pengajian umum berkitab di rumahnya yang dihadiri oleh masyarakat kampung khususnya golongan muslimat. 

Beliau sangat menekankan pengajian agamanya yang menggunakan dua kitab iaitu Kitab Munyatul Musolli dan Faridatul Faraid. Namun, ia terpaksa dihentikan sebelum masuk tahun 2000 akibat keuzuran beliau.

Antara amalan istiqomah yang dilakukan oleh beliau ialah membaca al-Quran. Beliau juga telah khatam al-Quran sebanyak 3,000 kali dengan cara mengkhatam al-Quran setiap tiga hari sekali dan 10 juzuk dalam masa sehari. Sungguh menakjubkan.

Walaupun usianya sudah mencecah 120 tahun, Allah SWT mengurniakan kesihatan matanya yang masih terang dan mampu lihat dalam skala yang jauh, semestinya berkat beliau melihat ayat-ayat suci al-Quran selama berpuluh-puluh tahun. – HARAKAHDAILY 21/5/2024

- Advertisement -