
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) kesal dengan majlis memperingati tragedi rusuhan kaum 13 Mei yang diadakan di suatu tapak perkuburan di Lembah Klang baru-baru ini.
Ketua DUPP, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, majlis tersebut kelihatan seperti suatu cubaan menyuburkan ideologi pluralisme agama selain cenderung kepada naratif songsang terhadap tragedi yang pernah berlaku pada tahun 1969.
“Ironinya apakah ahli agama dalam kalangan pemerintah hari ini tidak mahu memberikan teguran terhadap kebejatan yang berlaku saban masa? Satu demi satu kerosakan mula dinormalisasikan tanpa ada tangan yang mencegahnya.
“Agenda bacaan doa semua agama dalam majlis tersebut adalah sisi yang memperlihatkan cubaan pihak tertentu menyucuk jarum pluralisme agama ke dalam masyarakat.
“Ia tidak sepatutnya berlaku dan mereka yang terlibat harus ditegur supaya tidak mengulanginya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, dalam satu kenyataan hari ini.
Bahkan juga menurutnya, majlis sedemikian juga seolah-olah berselindung di sebalik usaha untuk mengalihkan perhatian terhadap naratif sebenar yang seharusnya difahami dengan tragedi rusuhan 13 Mei 1969.
“Apakah kelak naratif songsang terhadap kejadian 13 Mei juga akan diangkat dan dipaksa penerimaannya dalam masyarakat?
“Oleh itu, DUPP ingin mengulangi kekesalan terhadap insiden-insiden songsang yang dinormalisasi di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
“Ia tidak lain memberikan gambaran bahawa perjuangan umat Islam dan Melayu sangat lemah dan tidak bermaya bersama Pakatan Harapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!