‘Kenapa struktur MAHB digoncang…siapa kaut untung?’

Radzi Jidin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat begitu gelojoh hendak menyah senaraikan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) daripada Bursa Malaysia melalui satu Konsortium dengan tujuan untuk diberikan kepada dua syarikat asing satu blok saham yang besar iaitu sebanyak 30 peratus.

Ahli Parlimen Putrajaya, Dr. Radzi Jidin berkata, berbanding dengan syarikat tersenarai (Bursa), apabila sesebuah syarikat dinyah senarai, perkara-perkara penting berkaitan dengan syarikat tidak perlu lagi diumumkan kepada masyarakat awam. 

- Advertisement -

“Maknanya, apa yang berlaku dalam syarikat yang telah dinyah senarai tidak akan diketahui oleh umum,” katanya. 

Menurut beliau, tindakan untuk menggoncang struktur pegangan MAHB ini telah mengingatkannya kepada ucapan Belanjawan 2019 oleh mantan Menteri Kewangan yang juga mantan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 2 November 2018.

“Dalam perenggan 40 dan 41 ucapan tersebut, beliau menyentuh cadangan untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah bagi Lapangan Terbang (REIT) dan seterusnya menjual 30 peratus ekuiti REIT tersebut.

“Walaupun beliau terus menjadi Menteri Kewangan sehingga Februari 2020, cadangan REIT tersebut tidak diteruskan tanpa diketahui umum sebabnya.

“Kali ini, apabila DAP sekali lagi berada dalam kerajaan, timbul cadangan untuk menggoncang struktur pegangan MAHB. Apakah ini hanya satu kebetulan?” soalnya. 

Tambah beliau, MAHB bukanlah sebuah syarikat yang rugi dan bermasalah. Sebaliknya, untuk tahun kewangan 2023, MAHB mencatatkan keuntungan sebanyak RM543 juta dengan jumlah tunai di dalam akaun sebanyak RM1.845 bilion.   

“Jadi, di mana rasionalnya keputusan menggadaikan blok 30 peratus saham MAHB ini? Kalau hendak dikatakan MAHB ini membebankan, tentunya tidak. 

“Siapa sebenarnya yang akan mendapat manfaat dan mengaut keuntungan daripada urus niaga ini?” katanya. –HARAKAHDAILY 21/5/2024

- Advertisement -