Hanya 2 peratus bincang isu fiqh jenayah syariah di masjid

- Advertisement -

KOTA BHARU: Perbincangan mengenai isu-isu berkaitan fiqh jenayah syariah pada kuliah agama di masjid di Kelantan, Kedah, Perlis dan Pahang dianggap tidak sampai dua peratus.

- Advertisement -

Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Prof Madya Dr Azhar Abdullah berkata, dapatan tersebut berdasarkan kajian dibuat dalam tempoh dua tahun oleh pelajar-pelajar KIAS.

Katanya, kajian itu dibuat secara tidak rasmi berdasarkan siri kuliah yang diadakan di negeri-negeri terbabit.

“Oleh itu kita perlu merakyatkan fiqh Kanun Jenayah Syariah (KJS) supaya difahami secara lebih meluas orang ramai.

“Kita boleh mendedahkan 53 seksyen yang terkandung dalam KJS Kelantan untuk diajar di masjid di seluruh Kelantan supaya rohnya mudah dihayati rakyat.

“Sehingga sekarang kita masih gagal memasukkan hukum-hukum fiqh KJS dalam masyarakat,” katanya ketika mengulas kertas kerja dibentang Pengerusi Badan Peguam Muslim Wilayah Persekutuan Datuk Zainul Rijal di Balai Islam, petang ini.

Pembentangan kertas kerja tersebut sempena Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah anjuran Kerajaan Kelantan.

Menjawab soalan seorang peserta konvensyen tersebut, Dr Azhar berkata, pemahaman mengenai seksyen KJS perlu dipermudahkan dan tidak terlalu rigid.

Kata beliau, bahasa mengenai fiqh KJS perlu lebih dipermudahkan supaya ia lebih dekat kepada masyarakat.

“Kita juga wajar memperkasakan institusi penguatkuasaan syariah supaya pergerakan berlaku secara bersama.

“Ia mengelakkan kita dianggap berada dalam retorik apabila diberi kuasa politik nanti. Kalau tidak bersedia dari sekarang kita akan berdepan dengan fitnah selepas mendapat kuasa,” ujarnya.

Beliau juga berkata, jumlah pendakwa syarie di Kelantan sekarang hanya ada empat orang sehingga menyebabkan berlaku banyak kes tertunda.

Oleh itu, kata beliau sudah sampai masanya bahagian penguatkuasaan syarie boleh dinaik taraf kepada jabatan.

“Kelantan boleh terajui untuk mewujudkan jabatan penguatkuasaan syarie pertama di Malaysia seperti dicadangkan menteri sebelum ini,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 21/5/2024

- Advertisement -