Dilarang mengiktiraf syiar agama lain selain Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hukum orang Islam terlibat dalam acara bacaan doa bersama dengan penganut agama lain bagi majlis upacara tertentu adalah haram kerana dikira sebagai mengiktiraf syiar agama-agama lain selain Islam.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan satu artikel bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh netizen tentang sebuah klip video yang viral di media sosial berkenaan dengan seorang ustaz telah membaca doa di perkuburan orang kafir sempena memperingati peristiwa tertentu.

- Advertisement -

Hantaran yang dimuatnaik Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard memaparkan seorang individu telah membaca doa di sebuah perkuburan bukan Islam dalam satu program.

“Larangan ini adalah atas dasar ‘sadd al-dzara’ie’ iaitu menutup pintu-pintu yang membawa kepada kerosakan dan bertujuan mengekang pengaruh fahaman-fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam seperti fahaman pluralisme.

“Justeru, bacaan doa yang dilakukan oleh orang Islam tidak boleh disamakan dengan bacaan doa penganut agama-agama lain. 

“Hal ini kerana umat Islam wajib untuk meyakini bahawa hanya Islam adalah agama kebenaran dan Allah SWT adalah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah, sedangkan agama-agama lain tidak berada di atas jalan kebenaran.

“Oleh itu, doa-doa yang mereka panjatkan kepada tuhan mereka adalah sia-sia belaka,” jelas mufti dalam artikelnya.

Hal ini juga telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan kali ke-113 yang bersidang pada 22 Januari 2019.

Di samping itu, perkara ini juga telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada tahun 2006 bahawa umat Islam adalah tidak dibenarkan terlibat dalam program dan acara membaca doa beramai-ramai dengan membabitkan penganut daripada agama lain.

Terdahulu, video yang viral di media sosial ini adalah program berkenaan bagi memperingati tragedi rusuhan 13 Mei 1969 yang dianjurkan oleh Persatuan Sahabat Warisan Kuala Lumpur dan Selangor (Pesawa).

Upacara memperingati ulang tahun ke-55 rusuhan kaum itu dikatakan diadakan di tapak perkuburan khas Sungai Buloh, Selangor yang mempunyai 106 kubur iaitu majoritinya kubur Cina, dua kubur India dan satu kubur orang Islam. – HARAKAHDAILY 21/5/2024

- Advertisement -