Blockout 2024: Kuasa besar pengikut

- Advertisement -

KEMPEN besar-besaran yang mula digerakkan di Amerika Syarikat pada 6 Mei yang lalu membawa satu signal kepada dunia bahawa pengikut media sosial kini bersatu atas nama kemanusiaan sejagat. #Blockout2024 mensasarkan selebriti dan pempengaruh terkenal yang langsung tidak bersuara tentang isu Palestin malah secara jelas bersekongkol dengan rejim zionis. 

- Advertisement -

Lebih lagi sekiranya selebriti dan pempengaruh media sosial ini terus memaparkan kemewahan sedangkan di sana ada insan yang hidup dalam penindasan dan kesengsaraan. Mereka seolah-olah langsung tidak peduli dan punya sekelumit sifat manusiawi kerana isu di Palestin ini bukan sekadar isu agama.

Atas dasar kesedaran kemanusiaan terhadap kekejaman yang berlaku di Palestin, pelayar media sosial mula mengajak pengikut untuk unfollow dan block akaun milik selebriti yang disenaraikan. Pergerakan ini menunjukkan kejayaan besar apabila selebriti yang dikatakan ‘pro-Israel’ ini kehilangan jutaan pengikut dalam masa beberapa hari sahaja. 

Selepas kejayaan kempen ini di Amerika Syarikat, pelayar media sosial di Malaysia pula menyahut seruan ini dengan turut menyenaraikan nama-nama blocklist Malaysia. Puluhan selebriti dan pempengaruh di negara kita menerima nasib yang sama, lalu pelbagai kontroversi tercetus. 

Mereka yang di block ini mula risau dan tidak sedang duduk, terserlah sisi baik buruk setiap selebriti dan pempengaruh di negara kita. Ada yang mula sedar dan terus berhenti menjadi duta kepada jenama-jenama terkenal yang menyumbang kepada Israel. Ada juga yang memberi kenyataan balas dengan meminta maaf secara baik dan menjelaskan kekeliruan yang berlaku.

Walau nampak sedikit keruh, ia sebenarnya memberi satu implikasi yang baik. Bahawasanya menjadi selebriti dan pempengaruh ini bukan sekadar memberi hiburan, meraih populariti dan bermewah-mewahan. Terlalu besar peranan mereka untuk menunjukkan nilai yang baik kepada negara mahupun dunia. Lebih dalam dunia media tanpa sempadan harini ini, pengaruh mereka seharusnya digunakan sebaiknya untuk bersuara menentang kekejaman kuasa besar dunia.

Segah mana pun dilihat pemimpin-pemimpin rakus tersebut, sekiranya seluruh rakyat bersatu menentang kezaliman ini, tidak mustahil mereka akan goyah dan menyerah. Oleh sebab itu, jangan sesekali memandang remeh terhadap segala usaha menghentikan sebarang penyaluran sumber kewangan kepada Israel dan sekutunya.

Sekecil-kecil jihad memboikot barangan, unfollow dan block akaun berkaitan, serta like dan share content pro-Palestin seharusnya dipandang tinggi oleh segenap lapisan masyarakat. Kerana usaha ini besar di nilainya disisi Allah SWT. 

Namun, teguran juga perlu diberikan kepada para pengikut yang berlebihan dalam isu ini. Adab dan akhlak dalam menegakkan kebenaran seharusnya ditumakan. Jangan kita terlebih semangat sehingga lupa selebriti dan pempengaruh ini juga insan biasa seperti kita. Sedangkan dalam peperangan sekalipun, seandainya pihak musuh cenderung kepada perdamaian, kita juga perlu berdamai.

“Jihad dalam Islam mempunyai fiqh yang tersendiri yang menerangkan batas, hukum, adab dan akhlak yang digariskan oleh syariat. Selain itu, pemahaman fiqh jihad yang tepat menjelaskan bahawa syariat Islam mendahulukan agenda keamanan dan kedamaian dalam aspek hubungan antarabangsa.” – Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 

Dalam kita menyokong dan bersama-sama dalam kempen ini dengan panduan syariat, teruslah mendoakan buat saudara kita disana. Teruskan juga memperbaiki diri sendiri dahulu kerana kita sedang hidup pada zaman yang telah diceritakan oleh Baginda Rasulullah SAW melalui sabdanya:

“يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا.”

“Hampirlah berlakunya beberapa umat yang lain (bukan Islam) berkumpul mengepung kamu, laksana kumpulan yang mengelilingi hidangan dengan rakus atau gelojoh.”

فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: “بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ.”

Maka, seseorang dalam kalangan sahabat bertanya, “Adakah jumlah kita (umat Islam) pada masa itu sedikit?” Baginda bersabda, “Bahkan, ketika itu kalian sangat ramai, tetapi kalian laksana sampah sarap yang dihanyutkan oleh air banjir. Allah menghilangkan rasa hebat terhadap kalian daripada perasaan dalam dada musuh kalian dan Allah mencampakkan dalam jantung hati kalian perasaan al-wahn (hina).”

فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: “حُبُّ الدُّنْيَا، وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.”

Lalu seseorang dalam kalangan sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah maksud al-wahn (hina) itu?” Baginda menjawab, “Kasih akan dunia dan takut akan mati.” 

[Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, No. 4297, daripada Thawban bin Bujdud]

‘AQILAH ABD
Pahang Darul Makmur – HARAKAHDAILY 21/5/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -