Baiki parit atasi masalah banjir kilat Kg Sadek

- Advertisement -

BALING: Masalah banjir kilat di Kampung Sadek, Kupang akan dapat diselesaikan apabila sistem saliran dan perparitan di kawasan tersebut diperbaiki serta dilaksanakan, demikian kata ADUN Kupang, Brig Jen (B) Dato’ Najmi Ahmad.

- Advertisement -

Jelasnya lagi, kerajaan negeri setakat ini telah meluluskan peruntukan bagi membina sistem perparitan baharu sepanjang 330 meter di kawasan tersebut serta menaik taraf kepada yang lebih sistematik.

“Parit lama yang telah terkambus akan dikorek semula dan dinaik taraf kepada sistem perparitan lebih sistematik,” katanya ketika meninjau kerja-kerja mengorek dan pemasangan pembentungan itu, di sini semalam.

Beliau yang diiringi Pegawai Khas Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang, Mohd Sabri Abu Bakar memaklumkan bahawa kerja-kerja tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Ujar Najmi, sejak tanaman padi tidak lagi diusahakan penduduk Kampung Sadek iaitu lebih daripada 40 tahun, saliran parit yang membekalkan air kepada tanaman turut tidak diselenggarakan dan menyebabkan ia terkambus.

“Masalah itu menyebabkan berlakunya banjir kilat yang membawa sekali najis haiwan ternakan ke kawasan penduduk, masjid dan sekolah sejak lima tahun kebelakangan ini,” tambah beliau.

Tambahnya, hasil kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diharapkan dapat menyelesaikan masalah berkenaan. – HARAKAHDAILY 21/5/2024

- Advertisement -