Ugutan bunuh: PAS bersolidariti dengan Teresa Kok, gesa siasat segera

Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengutuk keras insiden ugutan bunuh melalui surat terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini sekali gus bersolidariti dengan Teresa dalam isu keselamatan dan perlindungan diri daripada apa-apa juga perbuatan jenayah dan bertentangan dengan undang-undang.

“Sebagai rakyat Malaysia dan lebih-lebih seorang Ahli Parlimen, Teresa berhak mendapat semua perlindungan yang disediakan di bawah undang-undang negara, selain berhak menjalani kehidupan, baik sebagai individu mahu pun ahli politik, dengan aman dan bebas daripada ketakutan atau ancaman.

“PAS juga mengambil maklum bahawa pihak polis sudah pun memulakan siasatan kes di bawah Seksyen 507, Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui kaedah perhubungan sembunyi nama dan berharap ia dapat disegerakan kerana perbuatan jenayah seperti ini tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat kita,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kesegeraan siasatan dan pendakwaan ke atas pihak-pihak terbabit menjadi lebih utama kini memandangkan kekerapan berlakunya kes yang membawa unsur ganas dan merosakkan seumpama itu sejak kebelakangan ini, sama ada yang melibatkan ahli politik, anggota pasukan keselamatan, ahli sukan, ahli perniagaan dan sebagainya.

Menurutnya, ketiadaan tindakan yang segera, tegas dan profesional, terutamanya daripada pihak berwajib, boleh menyuburkan kecenderungan negatif dalam masyarakat dan ini akan mencetuskan rasa tidak selamat, malah panik dalam kalangan orang awam.

Dalam pada itu, ujarnya PAS menggesa semua pihak agar sentiasa mematuhi undang- undang dan menjunjung budaya aman, selain menolak semua bentuk perbuatan atau kecenderungan yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan individu dan masyarakat, tanpa mengira warna kulit, kepercayaan, pegangan politik dan sebagainya.

“PAS percaya, selain pihak berwajib, anggota masyarakat mempunyai peranan yang sangat penting bagi memastikan keamanan dan ketertiban sosial dalam negara sentiasa terjamin serta dinikmati oleh semua pihak dan golongan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Teresa dalam hantaran menerusi media sosial semalam mendakwa menerima ugutan bunuh melalui surat dan dua butir peluru hidup yang dihantar ke rumahnya.

Menurut Naib Pengerusi DAP itu, surat ugutan berserta peluru ditemui dalam sampul yang diletakkan di dalam peti surat di kondominiumnya, malam semalam. – HARAKAHDAILY 20/5/2024

- Advertisement -