Tingkat rawatan pra-hospital, tindak balas bencana

- Advertisement -

ALOR SETAR: Keupayaan memberi perkhidmatan cekap dan pantas merupakan satu keperluan yang sangat penting dalam mendepani cabaran dunia sentiasa berubah serta semakin meningkat pada masa kini.

- Advertisement -

Justeru tema ‘Pioneering Excellence in Prehospital Care and Disaster Response’ sempena Persidangan Prehospital Administrative And Disaster (PADCON) 2024, amat relevan malah komprehensif untuk semua lapisan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din berkata demikian ketika merasmikan persidangan berkenaan di Hotel Raia, di sini hari ini.

“Dunia sekarang  sentiasa berubah dengan cabaran yang semakin meningkat, keupayaan untuk memberikan penjagaan yang cekap dan pantas sebelum pesakit sampai ke hospital merupakan suatu keperluan yang semakin penting.

“Selari dengan tema hari ini, penerajuan dalam bidang ini haruslah dengan inovasi, kecekapan dan kepakaran tinggi yang bukan sahaja dengan menyediakan rawatan awal berkualiti, malah perlu juga mempunyai kemahiran unggul dalam tindak balas terhadap bencana,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, Islam mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan awam serta menuntut umatnya menghulurkan bantuan kepada orang lain tanpa mengira bangsa dan agama, selain sangat mementingkan memelihara nyawa manusia.

Oleh itu tegas Radhi, penekanan kepada kecemerlangan dalam rawatan pra-hospital serta tindak balas bencana perlulah bertujuan untuk melindungi dan menyelamatkan nyawa sepertimana yang dikehendaki agama.

“Saya yakin program ini dapat membantu meningkatkan kuantiti dan kualiti penyelidikan dan seterusnya dapat menyumbang kembali manfaatnya kepada masyarakat.

“Tema ini juga memperkukuhkan kepentingan penyediaan dan latihan dalam menangani kecemasan yang merupakan satu amalan mulia sebagaimana Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk mencari ilmu dari buaian hingga ke liang lahad,” tambah beliau.

PADCON 2024 berlangsung selama dua hari itu merupakan anjuran bersama antara Kulliyyah Sains Perubatan dan Kesihatan, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan The Malaysian College Of Emergency Physician.

Antaranya bertujuan untuk perkongsian pengetahuan dalam aktiviti penyelidikan dan juga penerbitan, selain membuka peluang kolaborasi bersama penyelidik, profesional perubatan dan kesihatan serta para pegawai dari industri berkenaan di Malaysia.

ADUN Alor Mengkudu itu turut mengimbau kejayaan kerajaan negeri menangani kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Setol, Yan pada 21 Ogos 2021 lalu, di mana pengurusan bencana berkesan pada ketika itu dapat mengurangkan kerugian serta berjaya melindungi kesejahteraan penduduk terjejas.

“Kecemerlangan dalam rawatan pra-hospital dan pengurusan tindak balas bencana memerlukan kerjasama yang erat dengan pelbagai pihak sama ada badan kebajikan awam, badan kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan masyarakat setempat.

“Islam juga mendorong kerjasama dan kesatuan dalam menjaga kesejahteraan bersama sepertimana Rasulullah SAW mengajar agar umatnya bersatu padu dalam kebaikan dan menolong sesama manusia,” katanya.

Tambah beliau lagi, penekanan besar terhadap empati dan keadilan terutama terhadap golongan yang lemah dan memerlukan bantuan perlu diberi keutamaan selain kecekapan dalam pengurusan sumber kerana Islam menggalakkan penggunaan sumber berhemah dan berkesan.

Majlis berkenaan turut dihadiri Naib Canselor UniSHAMS, Prof Madya Dr Muhammad Nasri Mad Hussain dan Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Fatahul Laham Mohamed.

Juga Dekan Kulliyyah Perubatan dan Sains Kesihatan UniSHAMS, Prof Madya Dr Harif Fadzilah Che Hashim dan Dr  Mohd Zaki Fadzil Senek mewakili Ketua Special Interest Group in Pre Hospital Care Malaysia.- HARAKAHDAILY 20/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!