Timba ilmu di bumi asing, bakti di bumi sendiri

Menteri Besar Kedah beri pesanan kepada pelajar Malaysia

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama delegasi telah meluangkan kesempatan mengadakan pertemuan bersama para pelajar Malaysia khususnya dari Kedah sempena lawatan kerja ke Republik Ireland.

- Advertisement -

Beliau berkongsi ilmu dan pengalaman selain menyampaikan harapan besar Malaysia dan Kedah ke atas mereka sebagai pelapis masa hadapan kepimpinan negara dan negeri pada pertemuan yang diadakan di Malaysia Hall, Dublin, semalam.

“Negara dan negeri tidak mampu mengharapkan orang lain melainkan (daripada) rakyat sendiri (untuk) menerajui negara dan negeri dalam bidang yang diceburi masing-masing (pada masa depan),” ujar Sanusi pada aplikasi TikTok beliau, hari ini.

Pertemuan dianjurkan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia Ke Republik Ireland serta Persatuan Pelajar Malaysia di Dublin (PPMI) juga katanya, turut bertukar aspirasi dan pandangan mengenai masa depan negara terutama Kedah, khususnya merealisasikan ‘The Greater Kedah’.

“Ilmu dan pengalaman yang ditimba di bumi asing wajar dibawa pulang dan disemai bakti di bumi sendiri,” ujar beliau di mana turut bersamanya adalah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah.

Delegasi yang juga disertai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Dato’ Wira Isahak Murat dalam rangka lawatan kerja ke United Kingdom (UK) dan Republik Ireland selama 10 hari bermula 17 hingga 26 Mei 2024.

Sementara itu, menurut laporan Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA), sehari sebelum pertemuan bersama para pelajar berkenaan, beliau turut menghadiri pertemuan bersama diaspora dari kalangan profesional Malaysia di Ireland.

Pada ucapannya, Sanusi menekankan kepentingan kelompok golongan terpelajar kepada negara khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi dan sosial.

“Ada dari kalangan diaspora yang menyatakan hasrat untuk pulang berbakti di Kedah dan menerokai peluang perniagaan antara Kedah dan Republik Ireland,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 20/5/2024

- Advertisement -