‘Semoga ibadah haji akan tingkat iman, taqwa’

- Advertisement -

KUALA NERUS: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan ucapan tahniah kepada semua bakal haji negeri ini yang terpilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini.

- Advertisement -

Titah baginda, tahun ini seramai lebih 31,600 orang jemaah haji Malaysia dijemput ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

“Beta pasti jemputan daripada Allah SWT ini amat disyukuri dan dinanti-nantikan oleh semua tetamu Allah yang terpilih.

“Insya-Allah semoga ibadah haji yang bakal dilaksanakan akan meningkatkan lagi iman dan taqwa di sisi Allah SWT,” titah baginda pada Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji Ke Tanah Suci di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, semalam.

Titah ucapan baginda itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin. (Foto atas)

Hadir sama ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal; dan Pengarah Tabung Haji negeri, Nizan Johar Abdul Wahab.

Sultan Mizan berharap jemaah haji dapat bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kesemua rukun dan wajib haji seperti yang telah dipelajari semasa kursus.

“Ini kerana, jemputan menunaikan haji ini merupakan satu jemputan yang tersangat istimewa dan tidak patut disia-siakan dengan perkara yang tidak berfaedah,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Mizan menyeru semua bakal haji untuk memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran atas nikmat keamanan negara yang membolehkan bakal jemaah haji pergi mengerjakan rukun Islam kelima dengan selamat dan selesa.

“Jangan lupa untuk memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT sepanjang berada di tanah suci agar terus memelihara kesejahteraan negara Malaysia dan dijauhkan dari bencana yang tidak diingini,” titah baginda.

Titah baginda lagi, umat Islam negeri ini harus bersyukur Tabung Haji sentiasa mengambil berat akan kebajikan jemaah haji dengan penganjuran pelbagai kursus serta penyedian perkhidmatan yang cukup baik bermula di tanah air sehingga ke tanah suci.

“Beta mengucapkan syabas kepada Tabung Haji serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam operasi haji tahun ini.

“Beta berbangga dengan persediaan yang dilakukan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam usaha mengekalkan kualiti perkhidmatan yang diberi kepada jemaah haji negara.

“Beta mendoakan semua jemaah haji Negeri Terengganu diberikan kemudahan oleh Allah SWT agar dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna dan kembali Insya-Allah,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 20/5/2024

- Advertisement -