‘Saya henti bersuara hanya bila nafas terhenti’

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Presiden Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Che’gu Bard berkata, beliau hanya akan berhenti bersuara memperjuangkan isu negara dan rakyat jika nafasnya terhenti.

- Advertisement -

“Kepada Anwar Ibrahim, kamu boleh berhentikan Che’gu Bard daripada bersuara apabila nafasnya terhenti dan nadinya berhenti,” ujarnya di pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Johor Bahru, di sini hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar hari ini telah mengeluarkan perintah larangan bersuara terhadap Che’gu Bard daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berhubung kes kasino di Forest City yang dihadapinya.

Keputusan tersebut adalah bagi perbicaraan yang berlangsung pada Khamis minggu lepas terhadap semakan dibuat pasukan Pendakwaan atas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini yang tidak membenarkan ‘gag order’ terhadap beliau bagi kes tersebut.

Kata Che’gu Bard, beliau akur dan menghormati keputusan tersebut, namun beliau bersedia untuk menggunakan semua ‘avenue’ perundangan yang ada, termasuk juga untuk membawa kepada peringkat lebih tinggi.

“Persoalan hari ini sangat penting. Saya dihalang dan bukan sahaja saya, berdasarkan keputusan tadi ialah termasuk ejen-ejen saya dan juga sesiapa saja rakyat Malaysia tidak boleh lagi membincangkan berkenaan dengan pertuduhan yang saya kena dan bersabitan atau bersangkutan dengan perkara tersebut.

“Dalam keadaan yang sama kedua-dua artikel media asing ini masih berada di tempatnya dan boleh diakses di seluruh dunia. Ini agak lucu apabila dunia sedang membicarakan kita,” ujarnya pada sidang media, di situ.

Beliau turut menyindir sikap ahli politik kerajaan hari ini yang bersifat hipokrit dan takut pada bayang-bayang sendiri sehingga membawa Malaysia ke arah negara kuku besi.

“Kita akan teliti keputusan itu secara penuh. Teapi setakat pemahaman kali ini ialah keseluruhan rakyat Malaysia tidak lagi boleh bercakap berkenaan dengan perkara itu.

“Dunia sedang mentertawakan kita di bawah pemerintahan Anwar Ibrahim. Itu sebab Malaysia tidak dihormati dan keyakinan semua orang termasuk pelabur dan sebagainya akan lebih takut dengan Malaysia hari ini,” ujarnya.

Turut serta dalam sidang media tersebut ialah peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali dan aktivis Perikatan Nasional, Bozz Jebat. – HARAKAHDAILY 20/5/2024

- Advertisement -