Patuhi arahan pihak berkuasa Arab Saudi – MB

- Advertisement -

KUALA NERUS: Kerajaan Negeri Terengganu dan pengurusan kanan Tabung Haji mengucapkan tahniah kepada semua bakal haji Malaysia yang terpilih untuk menunaikan rukun Islam yang kelima pada tahun ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ganjaran bagi orang yang mengerjakan ibadat haji itu sangatlah besar.

“Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang maksudnya: Dari Abi Hurairah radiallahuanhu, ia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang mengerjakan haji ke Baitullah dan tidak melakukan perkara-perkara keji dan tidak berbuat fasik, maka dia suci daripada dosa-dosanya, seolah-olah dia kembali pada hari dia dilahirkan oleh ibunya’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji Terengganu Ke Tanah Suci, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, semalam.

Justeru itu, beliau menasihatkan bakal haji agar sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri sepanjang berada di Tanah Suci sekali gus mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa Arab Saudi dan Tabung Haji untuk keselamatan serta melicinkan lagi proses mengerjakan haji.

“Saya juga mendoakan agar Tabung Haji dapat melaksanakan operasi haji tahun ini dan tahun-tahun akan datang dengan lancar, demi kesejahteraan semua pihak.

“Mudah-mudahan, ibadah haji yang bakal dikerjakan akan meningkatkan lagi iman dan amal dalam mencari keredhaan Allah, demi kebahagiaan di dunia dan akhirat,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2024

- Advertisement -