Mokhber akan gantikan Raisi menjelang pilihan raya mengejut

Mohammad Mokhber. (FOTO: WANA (West Asia News Agency) melalui Reuters)
- Advertisement -

TEHRAN: Naib presiden pertama Iran, Mohammad Mokhber, dijangka memegang jawatan presiden selepas kematian Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter pada Ahad (19 Mei) ketika negara itu bersiap sedia untuk pilihan raya awal menjelang 28 Jun ini.

Perlembagaan Iran menetapkan bahawa naib presiden pertama akan mengambil alih ‘sekiranya presiden kematian, pemecatan, peletakan jawatan, ketidakhadiran atau sakit selama lebih daripada dua bulan’.

- Advertisement -

Raisi, 63,  yang meninggal dunia pada Ahad bersama dengan Menteri Luar Negeri, Hossein Amir-Abdollahian dan pegawai-pegawai lain, menghampiri penghujung penggal empat tahun pertamanya sebagai presiden.

Pelantikan sementara Mokhber memerlukan persetujuan pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, yang mempunyai kata putus dalam semua hal ehwal negara, lapor Tehran Times.

Pilihan raya presiden untuk memilih pengganti tetap akan diadakan dalam tempoh 50 hari, mengikut perlembagaan Iran.

Sebuah majlis yang terdiri daripada speaker parlimen, ketua badan kehakiman dan naib presiden akan ditugaskan untuk mengatur undi nasional.

Mokhber, 68, dilantik sebagai naib presiden ketika Raisi memegang jawatan pada Ogos 2021.

Beliau dilahirkan di bandar Dezful di wilayah barat daya Khuzestan, di mana beliau memegang beberapa jawatan rasmi.

Selama bertahun-tahun sejak 2007, Mokhber mempengerusikan Pelaksanaan Perintah Imam Khomeini, sebuah organisasi kerajaan yang ditugaskan untuk menguruskan harta yang dirampas berikutan revolusi Islam 1979.

Yayasan itu, yang ditubuhkan pada 1980-an, telah berkembang selama bertahun-tahun menjadi sebuah konglomerat ekonomi negeri yang utama dengan saham dalam pelbagai sektor.

Rakyat Iran akan turun mengundi untuk pilihan raya presiden setiap empat tahun sejak undian pertama Republik Islam itu pada 1980.

Perlembagaan menetapkan had dua penggal untuk setipa presiden Iran; namun jawatan perdana menteri tidak wujud di Iran, dan presiden, yang dibantu oleh beberapa naib presiden adalah bertanggungjawab melantik dan mengarahkan kabinet. – Agensi-HARAKAHDAILY 20/5/2024

- Advertisement -