KONSIS jadi pentas perkasa semula perundangan syariah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah (KONSIS 2024) menjadi pentas mencungkil solusi bagi memperkasakan semula perundangan syariah di Kelantan.

- Advertisement -

KONSIS menarik perhatian ramai selepas 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 dibatalkan Mahkamah Persekutuan pada Februari lepas.

Konvensyen tersebut yang akan diadakan esok di Dewan Besar Sultan Ismail Petra, Kompleks Islam Darulnaim, Lundang bakal menampilkan pakar undang-undang, bekas hakim mahkamah syarie, ahli akademik dan peguam.

Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan membentang kertas kerja bertajuk ‘Kompetensi DUN Berdasar Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan’.

Kertas kerja itu akan diulas peguam Ahmad Jailani Abdul Ghani dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Wan Rohimi Wan Daud.

Bekas Hakim Mahkamah Syariah Perak Dato’ Muhamad Asri Abdullah pula akan memperkatakan ‘Roh Penggubalan 16 Seksyen Yang Dibatalkan.

Kertas kerja itu akan diulas mantan pensyarah Universiti Malaya Dr Shukeri Mohamad dan Hakim Mahkamah Syariah Pasir Mas, Mohammad Nabil Mohamad Shukri.

Selain itu isu ‘Langkah Pemantapan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 & Institusi Penguatkuasaan Undang-undang Syariah di Kelantan’ akan dibentang Presiden Badan Peguam Muslim Wilayah Persekutuan, Dato’ Zainul Rizal Abu Bakar.

Tajuk menarik itu bakal diulas peguam Yusfarizal Yussoff dan pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Prof Madya Dr Mohd Azhar Abdullah.

Manakala matan Duta Perdana Menteri ke Timur Tengah Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyampaikan amanat di pentas KONSIS.

Memandangkan konvensyen tersebut menarik perhatian orang ramai, Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) menyiarkan program terbabit secara langsung di laman Facebook agensi terbabit.

Perasmian konvensyen terbabit akan disempurnakan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. – HARAKAHDAILY 20/5/2024

- Advertisement -