Khamenei isytihar lima hari berkabung atas kematian Raisi

Ayatollah Ali Khamenei (FOTO: Basirat.ir)
- Advertisement -

TEHRAN: Pemimpin Revolusi Islam Iran, Ayatollah Ali Khamenei telah mengeluarkan mesej takziah atas kematian Presiden, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Negeri, Hossein Amir-Abdollahian bersama-sama sebilangan pegawai kerajaan Iran dalam nahas helikopter tragis di barat laut Iran.

Beliau sehubungan itu mengisytiharkan lima hari berkabung di peringkat nasional atas kehilangan nyawa pegawai-pegawai kerajaan peringkat tertinggi negara Republik Islam itu.

- Advertisement -

Dalam perutusannya, Khamenei, 85, menyatakan bahawa Raisi, 63, telah menghabiskan hidupnya dalam perkhidmatan tanpa henti kepada negara dan agama Islam; mengutamakan kesejahteraan dan kepuasan rakyat atas perintah dan hadrat Allah SWT, lapor Tehran Times.

“Dengan kesedihan dan kedukaan yang teramat sangat, saya menerima berita pahit tentang pemergian seorang ulama yang rajin, Presiden popular yang cekap dan rajin.

“Seluruh tempoh Ebrahim Raisi, sama ada ketika memegang jawatan Presiden dalam tempoh yang singkat atau jawatan lain sebelum itu, dihabiskan beliau untuk berkhidmat tanpa jemu kepada rakyat, negara, dan Islam,” luahnya.

Khamenei juga menyatakan bahawa Iran telah kehilangan seorang tokoh pemimpin yang sangat berharga, ikhlas, berbakti, dan tegas menghadapi kritikan segelintir pihak, dan tidak menjadi penghalang kepada usaha berterusan beliau untuk kemajuan dan pembaharuan di Iran.

“Justeru, saya mengisytiharkan lima hari berkabung di peringkat nasional dan mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Iran yang dikasihi,” katanya.

Allahyarham Raisi atau nama sebenarnya, Ebrahim Raisolsadati yang dilahirkan pada 14 Disember 1960 merupakan ahli politik dan ahli perundangan Islam, yang berkhidmat dan dilantik sebagai sebagai Presiden kelapan Iran selepas memenangi pilihan raya 2021 hingga kematiannya pada malam tadi, 19 Mei 2024.

Terdahulu, Raisi telah digambarkan sebagai ‘pengganti pilihan’ kepada Khamenei oleh beberapa sumber. Pada 2019, Saeid Golkar dari Al Jazeera telah melabelkan Raisi sebagai ‘pengganti Ayatollah Ali Khamenei yang paling mungkin’ sebagai Pemimpin Tertinggi Republik Iran.– Agensi – HARAKAHDAILY 20/5/2024

- Advertisement -