Kelantan perkenal Anugerah Perdana Perkhidmatan Cemerlang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 186 penjawat awam negeri Kelantan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 yang menunjukkan prestasi luar biasa sepanjang menjalankan tugas dan bakti.

- Advertisement -

Setiausaha kerajaan negeri, Dato’ Nazran Muhammad berkata, buat julung kalinya kerajaan negeri turut memperkenalkan Anugerah Perdana Perkhidmatan Cemerlang (APPC) 2023 kepada penjawat awam.

Penganugerahan itu katanya, merupakan langkah kerajaan bagi membudayakan kecemerlangan secara menyeluruh dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kepada pemegang taruh dan kumpulan sasar.

“Dari sinilah konsep membudayakan ihtirafi penghargaan prestasi terhasil di mana ia menggambarkan pelbagai emosi aura positif seperti gembira dan teruja yang akan meninggalkan satu kenangan indah.

“Tahniah kepada semua penerima, 184 penerima APC dan dua orang penerima APPC bagi tahun 2023 merangkumi dari 30 jabatan negeri, lima urusetia negeri dan enam badan berkanun negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 diadakan di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Ustaz Dato’ Panglima Perang, Mohd Nassuruddin Daud yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Bagaimanapun, Nazran turut mengingatkan penjawat awam negeri supaya tidak berasa selesa dengan penghargaan yang menyuntik semangat dan inspirasi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Kerajaan negeri kata beliau lagi, telah menetapkan prinsip dalam pentadbiran iaitu ubidiyyah, masuliyyah dan itqan (UMI) yang menjadi garis panduan kecemerlangan kepada semua penjawat awam.

Katanya, ketiga-tiga terma itu diterapkan dalam pentadbiran kerajaan negeri sejak era pemerintahan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi memastikan ketelusan dan integriti.

“Namun begitu saya ingin mengingat kepada semua penjawatan awam di negeri ini bahawa anugerah diberikan ini bukan satu pengukur bahawa kita telah mencapai kecemerlangan yang tertinggi.

“Ia lebih merupakan satu perkara yang tidak tunggal dalam kita nak menilai kejayaan pentadbiran kita, masih banyak lagi yang boleh disumbangkan seperti idea bernas dan khidmat bakti,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2024

- Advertisement -