KOTA BHARU: Penggunaan media sosial dalam perkhidmatan awam perlu dikawal bagi memastikan prestasi anggotanya dapat dipertingkatkan selain tahap penyampaian perkhidmatan kepada pemegang taruh.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata sekiranya tidak dipantau, medium tersebut mampu menimbulkan kesan negatif kepada mutu kerja dan emosi penjawat awam.
Sehubungan itu kata beliau pihaknya sentiasa mengawasi penggunaan media sosial sepanjang waktu kerja untuk pasti rentak kecemerlangan anggota awam dan integriti kerajaan negeri sentiasa terjamin.
“Apabila menjadi seorang pekerja integriti, jabatan akan sentiasa kompetitif dalam penyampaian perkhidmatan kepada pemegang taruh dalam hadapi ekosistem pembangunan negara semakin mencabar dan kompleks.
“Kita perlu melengkapkan diri berfikir secara kreatif dan kritis serta membuat keputusan cepat, tepat dan bijaksana, selain usaha menimba ilmu dipertingkatkan dan diteruskan ketika berkhidmat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad yang menyaksikan seramai 186 penjawat awam negeri menerima APC masing-masing.
Daripada jumlah itu, seramai 184 menerima APC sementara dua menerima Anugerah Perdana Perkhidmatan Cemerlang (APPC) yang julung kali diadakan membabitkan 30 jabatan, lima urusetia dan enam badan berkanun negeri.
Mohd Nassuruddin berkata lagi, organisasi sektor awam selaku jentera yang menyokong agenda kerajaan perlu diperkasakan penyampaian dan perkhidmatan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, perkara itu perlu bagi kerajaan negeri melakukan pembaharuan yang berterusan untuk memastikan pentadbiran dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam kekal relevan.
“Kejayaan organisasi terletak kepada kecemerlangan warga kerjanya, sumber manusia dan modal insan baik merupakan asset utama yang menyumbang kepada reputasi dan imej sesetengah organisasi.
“Oleh demikian saya ingin berpesan bahawa nilai utama yang perlu disematkan dalam hati sanubari adalah integriti, ingatlah setiap kerja buat kita tidak terlepas perhitungan dosa dan pahala,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2024