‘Gag order’: Peguam pertimbang fail rayuan

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisham Shaharin sedang mempertimbang untuk memfailkan rayuan atas keputusan ‘gag order’ oleh Mahkamah Tinggi, di sini.

- Advertisement -

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar telah mengeluarkan perintah larangan bersuara terhadap Badrul Hisham daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berhubung kes kasino di Forest City yang dihadapinya.

Keputusan tersebut adalah bagi perbicaraan yang berlangsung pada Khamis minggu lepas terhadap semakan dibuat pasukan Pendakwaan atas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini yang tidak membenarkan ‘gag order’ terhadap defendan.

Kata Rafique, pihaknya yang mewakili Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan yang mana sekiranya difailkan akan didengar di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

“Ada pelbagai perkara dari segi perundangan yang boleh dilakukan. Antara lainnya adalah untuk merayu ke tahap lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan. Itu kita akan bincangkan. Tetapi itulah keputusan yang ada hari ini.

“Seperti mana saya nyatakan tadi, kita hormati keputusan tersebut, walaupun ianya pada kami, pada masa dan ketika ini, adalah satu keputusan yang kita merasakan menyekat kebebasan bersuara rakyat. Tapi itu keputusan kita hormati. Kita pun ada pelbagai ‘venue’ lain untuk merayu,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut disertai anak guamnya itu dan seorang lagi aktivis Perikatan Nasional, Bozz Jebat usai perbicaraan tersebut di perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Johor Bahru, di sini hari ini.

Di samping menzahirkan komitmen menghormati keputusan mahkamah, Rafique berpandangan bahawa isu tersebut adalah satu isu yang amat runcing dan kritikal kerana menekan rakyat Malaysia apabila suara rakyat dihalang sebegini rupa.

“Kita tidak salahkan Sistem Kehakiman. Yang harus kita salahkan tidak lain tidak bukan adalah agensi-agensi yang mengambil arahan daripada sama ada Perdana Menteri ataupun Pejabat Perdana Menteri kerana hak untuk bersuara rakyat itu penting dalam sebuah negara demokrasi sistem Malaysia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/5/2024