Timbalan Presiden KDN FC, CEO letak jawatan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan Darul Naim FC (KDNFC), Datuk Zamri Ismail dan Wan Mohd Zul Ikman meletakkan jawatan masing-masing, berkuat kuasa hari ini.

- Advertisement -

KDNFC dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka melepaskan jawatan masing-masing kerana ingin memberi tumpuan penuh pada urusan lain yang lebih utama.

Menurut KDNFC, peletakan jawatan mereka adalah demi kebaikan serta rasa tanggungjawab untuk menjaga kepentingan kelab, yang kini telah memulakan perjuangan dalam saingan Liga Malaysia untuk musim 2024/2025.

Tambah kenyataan itu, pemergian dua individu penting yang telah membuat banyak pembaharuan memberi sepenuh dedikasi untuk pembangunan kelab, serta meletakkan KDNFC pada kedudukan sekarang agar kekal relevan dalam industri bola sepak Malaysia sejak dijenamakan semula pada 2019, merupakan satu kehilangan besar buat bola sepak Kelantan terutamanya kepada kelab dan pasukan.

KDNFC menzahirkan jutaan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan dua individu terbabit selama enam tahun bersama kelab, bermula daripada saingan Liga M3 sehingga KDN FC berada di Liga Super Malaysia.

“Kami tidak sesekali melupakan segala jasa dan kerahan tenaga daripada kedua-dua individu hebat ini dan mendoakan agar mereka sentiasa diberikan kesihatan, kemudahan dan dilimpahkan segala kebaikan dalam setiap perkara yang mereka lakukan,” ujar KDNFC lagi. – HARAKAHDAILY 19/5/2024

- Advertisement -