Sultan Mizan rasmi Wisma Audit Negeri Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Wisma Audit Negeri Terengganu di kawasan pembangunan Bukit Besar, Jalan Kuala Berang, di sini, hari ini

- Advertisement -

Turut berangkat ke majlis itu Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah Tengku, Yang di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail Sultan Zainal Abidin dan Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’ Sultan Mizan Zainal Abidin.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Menurut Suraya, Wisma Audit Negeri Terengganu merupakan bangunan Jabatan Audit Negara yang kelapan.

“Ini merupakan satu titik sejarah kepada Institusi Audit di negara kita kerana selepas 118 tahun kewujudan Institusi Audit di negara Malaysia, Jabatan Audit Negara kini mempunyai bangunannya sendiri di Negeri Terengganu.

“Pada hari ini Jabatan Audit Negara dengan tenaga kerja seramai 2,134 orang di seluruh negara dan 68 orang di Negeri Terengganu berperanan melaksanakan pengauditan secara profesional dan bebas serta mengemukakan laporan kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ke arah meningkatkan akauntabiliti sektor awam.


“Dengan berdirinya Wisma Audit Negeri Terengganu ini, ianya akan menjadi satu lagi mercu tanda serta lambang akauntabiliti dan integriti dalam sektor awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempersembahkan ucapan pada majlis perasmian Wisma Audit itu.

Tambah beliau, tugasan mencabar yang dipikul Jabatan Audit Negara amat memerlukan suasana tempat kerja yang berkualiti dan kondusif.

“Saya yakin dengan adanya Wisma Audit Negeri Terengganu ini akan memberi manfaat yang besar kepada warga Jabatan Audit Negara Negeri Terengganu untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada sektor awam,” katanya.

Suraya berkata, dengan adanya Wisma Audit Negeri Terengganu ini, ia berjaya menempatkan kesemua warga kerja Jabatan Audit Negara Negeri Terengganu di bawah satu bumbung.

“Sebelum ini, penempatan pegawai dan kakitangan ialah di aras 10 dan 11, Wisma Persekutuan Kuala Terengganu.

“Selain itu, penyewaan sebuah lot 3 tingkat Pusat Niaga Paya Keladi Kuala Terengganu turut dibuat bagi menempatkan sebahagian pegawai dan kakitangan,” katanya.

Bergerak ke hadapan, kata beliau, Jabatan Audit Negara kini dalam perancangan awal untuk membina sebuah bangunan tambahan di atas tanah lapang di belakang bangunan Wisma Audit Negeri Terengganu ini yang akan dimohon melalui peruntukan kewangan di bawah Rancangan Malaysia Ke- 13.

“Sekiranya perancangan ini berjaya direalisasi, bangunan baharu tersebut akan dijadikan sebagai Akademi Audit Negara Cawangan Zon Timur yang berfungsi sebagai pusat latihan kepada warga Jabatan Audit Negara dan juga kepada agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.

Untuk rekod, reka bentuk bangunan Wisma Audit Negeri Terengganu menampilkan konsep seni bina klasik dengan mengambil kira ciri-ciri seni bina masyarakat setempat di negeri ini.

Bangunan ini juga bercirikan teknologi hijau dan turut menyediakan rain harvesting system untuk tujuan penyimpanan dan penggunaan air hujan di samping rang pencahayaan semula jadi yang sempurna.

Kedudukan strategik bangunan yang berdekatan dengan pusat bandar ini serta berhampiran lokasi jabatan dan agensi kerajaan memudahkan perhubungan dan menjadikan salah satu mercu tanda di Bandar Raya Kuala Terengganu.

Bangunan Wisma Audit Negeri Terengganu dibina di atas tapak seluas 1.42 hektar dengan kos pengambilan tanah sejumlah RM1.31 juta dan kos pembinaan bangunan RM18.93 juta.

Projek ini telah berjaya disiapkan dan mendapat Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 15 Februari 2018. – HARAKAHDAILY 19/5/2024

- Advertisement -