SRITI mahu lahirkan teknokrat berfikrah Islam

- Advertisement -

MASJID TANAH: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) diwujudkan bagi melahirkan teknokrat dan para cerdik pandai yang mampu menguasai ilmu dunia, namun memiliki fikrah Islam.

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah, Syahmi Shaare berkata, mereka bukan sekadar mahir dalam bidang masing-masing, tetapi mereka juga sangat mendalami dan memahami ilmu agama.

Katanya, SRITI yang merupakan inisiatif Dewan Pemuda PAS Malaysia itu menjadi alternatif untuk memberikan pendidikan agama seawal pendedahan mungkin kepada anak-anak.

“Dengan harapan mereka inilah nanti suatu hari nanti apabila dewasa menjadi seorang pemimpin dalam masyarakat, seorang profesional teknokrat yang mempunyai fikrah Islam.

“Mereka ini apabila menjadi seorang pemimpin negara, pemimpin masyarakat nanti, mempunyai pemikiran yang mana berlandaskan kepada syariat Islam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Sukan dan Olahraga (KASUGA) Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Harun Ar-Rasyid Kali Ke-3 yang berlangsung di Sekolah Menengah Ade Putra, Pengkalan Balak, di sini, pagi tadi.

Jelas beliau, mereka inilah yang akan membangun masyarakat dan negara ini yang berteraskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang akhirnya akan membawa semua rakyat dan negara kepada mentauhidkan Allah SWT.

“Nanti apabila mereka lahir daripada sekolah, berjaya graduat, katalah menjadi seorang akauntan, mereka akan menjadi seorang akauntan yang mempunyai pemikiran fikrah Islam yang sangat jelas.

“Barangkali menjadi seorang akauntan yang hafiz 30 juzuk, yang mana mereka juga bukan sekadar akademik, bukan sekadar mahir dalam bidang masing-masing, tetapi mereka juga sangat mendalami ilmu agama dan sangat faham tentang ilmu agama,” kata beliau.

Tambahnya lagi, perkara itu menjadikan mereka berbeza dengan rakan-rakan mereka di luar sana yang barangkali tidak terlibat dengan aliran agama, maka corak pemikiran dan pembesaran mereka sangat berbeza daripada rakan-rakan mereka yang lain.

“Dan itulah harapan kita di bawah SRITI Harun Ar-Rashid ini, anak-anak ini dididik oleh mualim dan mualimah hingga terbina karakter mereka untuk menjadi seorang pemimpin, untuk menjadi seorang imam, yang bukan saja hebat dalam akademik tapi juga hebat di masjid dan di surau.

“Mereka inilah anak-anak pelapis yang boleh kita ketengahkan yang boleh memimpin kita memimpin dalam solat memimpin dalam aktiviti-aktiviti agama dan seterusnya dapat memimpin kita suatu hari nanti insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/5/2024

- Advertisement -