Rotan guru jadikan saya manusia – Bakri

- Advertisement -

TANGGA BATU: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin menyifatkan ketegasan guru-guru yang mendidik beliau termasuk dengan rotan telah menjadikan beliau seorang manusia yang berguna.

- Advertisement -

Katanya, semua pengalaman itu masih beliau ingat sehingga ke hari ini kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku dan para guru yang terlibat mendidiknya.

“Ketika saya darjah satu, guru saya Cikgu Zaleha, kita doakanlah mudah-mudahan Allah merahmati beliau, memang waktu dulu saya selalu kena rotan di sekolah dulu di Sekolah Kebangsaan Tangga Batu.

“Tetapi akhirnya saya ni menjadi antara murid-murid kesayangan beliau,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui, di sini semalam.

Satu lagi peristiwa masih diingatinya ialah apabila beliau pernah ditampar seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjung atas kesalahan yang tidak beliau lakukan.

“Masa nyanyi lagu Negaraku, kerana tertawa masa nyanyi lagu tu. Yang tertawa tu orang depan, bukan saya. Mungkin cikgu tu tersalah, jadi saya yang kena tampar.

“Tetapi dalam satu pertemuan alumni, saya cerita perkara tu padanya, cikgu tu minta maaf pada saya. Tetapi saya kata ‘tak apa cikgu kerana sikap cikgu inilah yang menyebabkan kami jadi orang’,” ujarnya.

Tambah beliau, kerana beliau seorang yang aktif dalam persatuan, sukan dan akademik menyebabkan beliau menjadi antara murid kesayangan guru-guru, walaupun guru yang paling garang sekalipun.

“Kalau kita sebut di Sekolah Seri Tanjung itu Cikgu Jalal tu semua kenal, suka tampar orang, tetapi dengan saya dengan kawan-kawan saya seolah-olah macam kawan yang akrab. Itulah yang rasa tidak boleh saya lupakan.

“Mungkin cikgu-cikgu saya dulu melihat kami ni satu kumpulan pelajar yang pro-aktif, kadangkala cikgu tak suruhpun kita buat, tanpa perlu tunggu arahan,” ujarnya.

Namun, tambah beliau, polisi pendidikan pada hari ini yang melarang pelajar daripada dirotan menyebabkan berlaku kelompangan dalam fasa pendidikan remaja.

Perkara itu juga beliau dapat menerusi maklum balas daripada rakan-rakan yang terlibat sebagai pendidik di mana turut memberikan pendapat sedemikian.

Menurutnya, mereka mengatakan bahawa walaupun generasi dahulu dididik dengan cara yang keras dan sebagainya, namun dapat melahirkan manusia dengan mempunyai adab tinggi berkaitan ilmu, rakan-rakan dan dengan guru.

“Tapi kata mereka, murid hari ni, mungkin sebab tidak boleh dirotan begitu, maka adab tu dengan guru tu agak kurang. Itu maklum balas daripada rakan-rakan saya yang menjadi guru,” katanya.

Beliau mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik yang melahirkan generasi rabbani di mana beliau sifatkan sebagai suatu kelompok masyarakat sangat dihormati kerana keilmuan dan akhlak mereka.

“Mereka yang mendidik generasi-generasi kita ni untuk melahirkan kita sebagai seorang manusia, menjadikan kita seorang pemimpin terhormat dan juga menjadikan kita generasi yang hidup harmoni dan saling hormat-menghormati,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/5/2024

- Advertisement -