Peserta luar Kelantan turut sertai pertandingan karom, dart

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kejohanan Karom dan Dart Piala Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) 2024 mendapat sambutan hangat apabila turut mendapat penyertaan dari luar Kelantan.

- Advertisement -

Selain Kelantan, peserta dari Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pahang dan Kuala Lumpur turut mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang dianjurkan Kelab Sukan dan Kebajikan PKINK.

Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Datuk Zamri Ismail berkata, penyertaan terbuka kepada semua pemain itu di mana peserta pertandingan dart disertai 58 orang.

“Manakala acara karom kategori individu seramai 270 orang dan bagi kategori regu pula sebanyak 220 pasukan telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini.

“Kebanyakan peserta terdiri dari jabatan kerajaan, badan berkanun, swasta dan kelab dari seluruh Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kejohanan itu yang diadakan di UTC, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ahmad Nazri Ismail, Pengerusi Kejohanan yang juga Pengerusi Sukan, Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK, Tuan Nazir Tuan Man.

Sambungnya lagi, kejohanan itu diadakan sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 yang diadakan sekarang, untuk memberi peluang pada peserta luar dapat melawat ke destinasi tertentu di negeri ini.

Menurut Zamri lagi, bidang sukan itu merupakan suatu usaha untuk mencapai wawasan negara dalam pembudayaan yang sihat dan cerdas dalam kalangan anggota masyarakat.

Katanya, aktiviti sukan itu juga dapat melahirkan modal insan yang seimbang dan holistik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek ke arah pembinaan negara bangsa.

“Saya percaya dengan adanya kejohanan ini mampu untuk melahirkan bakat-bakat baru yang merupakan elemen yang penting dalam menyediakan ruang dan peluang untuk menjadi seorang pemain yang profesional.

“Di samping itu, saya pasti melalui kejohanan ini juga akan mempamerkan semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi pada peserta,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2024

- Advertisement -