Perkasa peranan audit dalam tatakelola

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Berdiri megahnya bangunan Wisma Audit di sini pada hari ini, ianya merupakan satu perkembangan penting dalam memperkasakan peranan audit dalam tatakelola dan pengurusan kewangan kerajaan dan agensinya,” kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Advertisement -

Menurutnya, Jabatan Audit Negara memainkan peranan yang penting dalam pentadbiran sektor awam, iaitu memastikan akauntabiliti dan pengurusan kewangan kerajaan teratur, selaras dengan undang-undang dan peraturan yang sedia ada.

“Ini dilaksanakan untuk membantu memperbaiki kelemahan dan meningkatkan pengurusan kewangan kerajaan melalui khidmat nasihat dan pandangan membina yang diberikan hasil daripada pengauditan yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Wisma Audit Negeri Terengganu, di sini, hari ini. (Foto atas)

Majlis perasmian disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Tengku Yang di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail Sultan Zainal Abidin dan Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’ Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin turut berangkat menghadiri majlis itu.

Menurut Samsuri, projek pembangunan bandar Bukit Besar merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan bandar baharu, yang melibatkan komponen institusi kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, perumahan, komersil dan kemudahan awam di kawasan seluas 556 hektar di Bandar Raya Kuala Terengganu.

“Alhamdulillah, sehingga kini sebanyak tiga projek pembangunan telah disiapkan, iaitu bangunan Jabatan Kimia Malaysia Negeri Terengganu, Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Terengganu dan Jabatan Audit Negara Negeri Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!