Penyatuan ummah diteruskan, tidak pinggir bukan Islam

- Advertisement -

TUMPAT: PAS tetap meneruskan agenda penyatuan ummah serta tidak meminggirkan golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini selaras dengan ucapan dasar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bertemakan ‘Adil, Prihatin dan Berkebajikan’.

Katanya, Islam sudah menunjukkan model penyatuan itu ketika Rasulullah SAW mementingkan persaudaraan umat Islam, kemudian hubungan golongan bukan Islam.

Bagaimanapun, beliau kesal kerana wujud sebahagian pihak yang tidak mengambil pengajaran tersebut, sebaliknya mengutamakan orang bukan Islam bagi mewujudkan permusuhan dalam kalangan umat Islam.

“Kita terus mengajak sahabat-sahabat kita agar bersatu, bukan kerana benci kepad orang bukan Islam, tetapi bersatu itu mesti dimulakan dengan kita orang Islam seperti mana bersatunya Muhajirin dan Ansar.

“Model itu model Rasulullah SAW waktu kerajaan di Madinah, kita turut mesti dimulakan dengan bersatunya orang Islam dahulu, jangan pecah belah kaum muslimin, pergi panggil kerajaan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Tumpat Kali Ke-65 yang diadakan di pekarangan Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujoh, semalam.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; Yang Dipertua PAS Kawasan Tumpat, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat dan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Mantan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu turut terkejut ketika dimaklumkan oleh kepimpinan kawasan jumlah ahli PAS di Tumpat seramai 12,000 berbanding ahli Umno bahagian mencecah 30,000.

“Cuma beza PAS ialah ahli sedikit undi banyak, UMNO ini ahli ramai tetapi undi sedikit. Saya jadi setiausaha agung (UMNO) tiap-tiap tahun kena sedia hadiah kepada bahagian dengan ahli yang paling ramai.

“Ahli Umno paling ramai Kemaman, setiap tahun ahli paling ramai 60,000 setiap tahun dapat hadiah, tetapi bila pilihan raya dapat 28,000 (undi),” kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat itu lagi. – HARAKAHDAILY 19/5/2024

- Advertisement -