Muay Thai: Kelantan sudah warta garis panduan baharu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan sudah mewartakan garis panduan baharu sukan Muay Thai di negeri ini untuk diperkasakan bagi melahirkan atlet bertaraf dunia.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, penyusunan dan garis panduan itu, dilakukan kerana terdapat beberapa isu yang berlaku sebelum ini seperti faktor keselamatan.

Menurutnya, garis panduan baharu itu sudah diluluskan di peringkat Exco negeri dan sudah diwartakan dua bulan lalu.

“Jadi kita sedang menunggu peringkat akhir penyelarasan mengenai perkara ini dengan pihak polis yang dijangka akan mendapat maklum balas dalam masa dua minggu lagi,” katanya di sini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Taekwon-do Tul dan Pertandingan Junior Matsogi Peringkat Negeri Kelantan 2024 yang membabitkan 460 orang peserta, di sini hari ini.

Zamakhshari seterusnya berkata, sukan Muay Thai di Kelantan juga antara sasaran penyumbang 22 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos.

Tambahnya, semua atlet yang terbabit sudah melakukan persiapan masing-masing dengan mengadakan latihan bersama-sama jurulatih di tempat yang dikhususkan, seperti sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Muay Thai disenarai oleh Sarawak sebagai antara empat jenis sukan tambahan selain tinju, petanque dan e-sukan bagi temasya SUKMA 2024, di samping 28 sukan wajib lain.

Sementara itu, Zamakhshari berkata, pihaknya akan membaik pulih sistem perparitan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini tidak lama lagi, selepas mendapat peruntukan berjumlah RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan.

“Kita akan lakukan semasa season break perlawanan bola sepak Liga Malaysia dan jangka siap sebelum musim tengkujuh,” katanya lagi.

Tambahnya, selepas itu tumpuan akan diberikan mengenai rumput padang dan papan pemarkahan di stadium berkenaan. – HARAKAHDAILY 19/5/2024

- Advertisement -