Kostum tema adiwira ceriakan KASUGA SRITI

- Advertisement -

MASJID TANAH: Perbarisan Kejohanan Sukan dan Olahraga (KASUGA) Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Harun Ar-Rasyid 2024 ceria dengan para pesertanya tampil memakai kostum bertema adiwira kegemaran kanak-kanak.

- Advertisement -

Bagi pasukan Rumah Kuning Al-Jazari, mereka menggunakan kostum ala Batman, manakala Rumah Hijau Al-Ghazali membawa imej Green Arrow, sementara Rumah Merah Al-Khawarizmi berikon The Flash dan Rumah Biru Al-Bukhari pula Captain America.

Bermula dengan lintas perbarisan melalui khemah tetamu kehormat, murid-murid yang terlibat dalam perarakan tersebut kelihatan ceria mempamerkan kostum mereka sambil melambai-lambai ke arah tetamu sukan tahunan kali ketiga itu.

Guru Besar SRITI Harun Ar-Rasyid, Mohd Taufik Jamil dalam pada itu berkata, sebagai acara tahunan sekolah, KASUGA juga adalah medan untuk mengenal pasti wakil sekolah ke acara sukan tersebut bagi peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat kebangsaan.

“KASUGA hari ni juga kita nak cari wakil sekolah ke peringkat negeri dan kebangsaan. Malah sebelum ni sudah dua tahun berturut murid kita mewakili negeri ke peringkat kebangsaan bagi acara memanah.

“Begitu juga bola sepak. Seorang murid kita berjaya layak mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan. Kita harap tahun ni kita sekurang-kurangnya dapat mengekalkan pencapaian ni,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambah Taufik, untuk tahun ini mereka berjaya mewujudkan pasukan-pasukan bola jaring bagi membolehkan acara itu dipertandingkan dalam kejohanan tersebut.

Menurut beliau, pada tahun-tahun sebelumnya, bilangan murid tidak mencukupi sehinggakan mereka terpaksa sekadar mengadakan acara skor gol sahaja bagi bola jaring.

“Untuk tahun ini juga kita adakan sukantara iaitu saringan untuk memilih peserta yang layak untuk acara pada hari ini. Seperti perlawanan bola sepak dan bola jaring hari ini cuma untuk kedudukan ke 4 hingga johan sahaja.

“Begitu juga untuk memanah. Kalau dahulu semua akan memanah, tetapi kali ni kita buat saringan dan wujudkan empat orang pemanah bagi setiap pasukan,” katanya.

Namun begitu katanya, pihak sekolah juga perlu teliti dalam menjalankan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum seperti sukan kerana ada murid-murid yang menurun prestasi akademik kerana sibuk dengan program ko-kurikulum.

“Sebab ada ibu bapa yang sudah mula bising bila ada anak-anak yang aktif sukan dan ko-kurikulum ni yang akademik mereka merosot. Tetapi dalam masa yang sama kita tak mahu anak-anak ni dia tak aktif.

“Jadi itu tugas kami pihak sekolah untuk seimbangkan perkara ini seperti yang dihasratkan dalam falsafah pendidikan negara,” katanya.

Program yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Ade Putra, Pengkalan Balak, di sini, hari ini, telah dirasmikan oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah, Syahmi Shaare.

Sebanyak 10 acara dipertandingkan iaitu acara Memanah Individu dan Kumpulan, Larian 100 meter Tahap Rendah (Lelaki dan Perempuan), Acara Larian 100 meter Tahap 1 (Lelaki dan Perempuan), Acara Larian 100 meter Tahap 2 (Lelaki dan Perempuan) dan Acara Larian 4×100 meter terbuka (Lelaki dan Perempuan).

Selain itu ialah Acara Bola Sepak Separuh Akhir (Tempat Ketiga dan Keempat), Bola Jaring Separuh Akhir (Tempat Ketiga dan Keempat), Bola Sepak Akhir (Johan dan Naib Johan), Bola Jaring Akhir (Johan dan Naib Johan) dan Sukaneka Ibu Bapa.

Rumah Biru Al-Bukhari dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan dengan kutipan mata sebanyak 540 mata, Naib Juara jatuh kepada Rumah Hijau Al-Ghazali dengan 410 mata, Tempat Ketiga Rumah Kuning Al Jazari (260 mata) dan Tempat Keempat Rumah Merah Al-Khawarizmi (200 mata). – HARAKAHDAILY 19/5/2024

- Advertisement -