Kebanyakan keluarga alami tekanan kebelakangan ini

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ibu bapa disaran menjaga institusi keluarga agar berfungsi dengan baik bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini sehingga menjejaskan perkembangan pembesaran anak-anak.

- Advertisement -

Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Dato’ Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, berkata, institusi keluarga adalah penting dalam masyarakat Malaysia.

Bagaimanapun menurutnya, kebelakangan ini kebanyakan keluarga mengalami tekanan kesan daripada urbanisasi, waktu kerja yang panjang, kos sara hidup meningkat serta kesan media sosial terhadap komunikasi dan perhubungan.

Katanya, faktor di atas amat membimbangkan terutama dalam aspek sokongan keluarga.

“Anak-anak perlu ditanamkan berkaitan kesukaran dan kesusahan ibu di samping mengajak mereka belajar dari kecekalan dan ketabahan orang tua mereka.

“Siti Hajar contohnya ditinggalkan dengan bersendirian dengan anak kecil di gurun yang tandus, bagaimana kesukaran seorang ibu ketika itu,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2024 di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim dan Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Zaharin Bakri.

Noor Hayati turut menitipkan nasihat oleh Luqman al-Hakim kepada anaknya sebagaimana dalam surah Luqman, antaranya tidak menyekutukan Allah dan bersyukur kepada-Nya.

Katanya, pada masa yang sama anak-anak mesti ditanam sifat taat dan berbuat baik kepada ibu bapa, Allah mengetahui amalan setiap insan walaupun sekecil biji zarah dan yang paling penting solat lima waktu.

“Menyuruh kepada kebajikan dan melarang daripada melakukan perbuatan mungkar di samping mengingatkan anak-anak jangan bersikap sombong dan angkuh adalah antara usaha untuk menjadikan keluarga harmoni.

“Inilah yang menjadi intipati rahsia kebahagiaan sesebuah rumah tangga bagi melahirkan sebuah keluarga sakinah, mawaddah warahmah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 19/5/2024

- Advertisement -