10 agenda ucapan dasar kukuhkan sokongan rakyat

- Advertisement -

TUMPAT: Semua PAS kawasan di Kelantan diminta membuat penilaian terhadap pelaksanaan 10 agenda dalam ucapan dasar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-69.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, arahan tersebut merupakan perkara sangat penting bagi mengukuhkan sokongan rakyat serta meningkatkan jumlah keahlian PAS.

Menurutnya ucapan dasar bertemakan ‘Adil, Prihatin dan Berkebajikan’ juga sebagai persediaan parti untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku termasuk pilihan raya kecil (PRK).

“Sebelum kita pergi Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-70, saya yakin semua kepimpinan PAS kawasan telah pun mengambil tindakan sewajarnya atas arahan 10 perkara yang diutarakan oleh presiden.

“Kerana semua perkara ini merupakan perkara penting dalam kita berparti dan untuk mengukuhkan lagi gerak kerja kita dalam menambah ahli serta mendapat sokongan daripada semua pihak,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Tumpat di sini, semalam.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu turut memperincikan sebahagian elemen dalam ucapan dasar tersebut.

Beliau berkata, ahli PAS memberi tumpuan terhadap aspek tafaqquh iaitu mendalami ilmu agama secara amanah dan mendalami ilmu fardu kifayah agar selari dengan situasi semasa politik tanah air.

Ujarnya lagi, kempen boikot terhadap produk Isreal masih diteruskan namun dalam masa yang sama keperluan masyarakat tidak diabaikan.

“Mengambil berat perkara fardu kifayah, saya yakin PAS Tumpat mampu ke depan dengan ada tuntutan fardu kifayah kalau kita dalam menyokong Palestin dan bersama memboikot produk Israel.

“Sepatutnya kita ada alternatif untuk fardu kifayah. Kalau rakyat suka ayam goreng, insya Allah saya sama ada mewakili peribadi dan parti boleh berusaha hasilkan keperluan kifayah dalam masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2024

- Advertisement -