KDN FC tumpu aksi Liga Super sebelum bertemu JDT

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketua jurulatih Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC), Park Jeahong akan memberikan fokus terlebih dahulu kepada aksi Liga Super sebelum bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala FA kelak.

- Advertisement -

Beliau berkata, pasukannya perlu meraih tiga mata terlebih dahulu untuk mendapatkan keyakinan sebelum beraksi untuk saingan berkenaan.

“Tiga mata di Liga Super lebih penting buat masa ini, selepas itu baru kita bincang soal perancangan berdepan JDT.

“Kita tumpu satu persatu dan itu lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Mengulas perlawanan menentang Sabah malam tadi, Jaehong mengakui sedih dengan kekalahan tersebut.

Beliau bertambah sedih apabila mendapat sokongan padu daripada penyokong sejak akhir-akhir ini ketika sesi perlawanan persahabatan termasuk malam tadi, namun gagal menghadiahkan kemenangan buat mereka.

Pada perlawanan itu, KDN FC gagal menyekat penguasaan Sabah FC apabila tumpas 2-3 dalam aksi sengit.

Gol-gol kemenangan Sabah FC dijaringkan oleh Gabriel Peres (minit ke-25), Stuart Wilkin (65) dan Roman Macedo (68) sementara Kim Lik Wan serta Bae Kyeong Hwa meledakan gol untuk KDN FC.

Sementara itu, Stadium Sultan Muhammad IV menyaksikan kehadiran hampir 8,000 penyokong KDN FC dengan pakaian merah, malam tadi.

Para penyokong mula beratur untuk memasuki stadium seawal jam 7.30 malam.

Selasa lalu, KDN FC mengumumkan harga tiket untuk tempat duduk terbuka RM10 pada aksi Liga Super 2024/25 menentang Sabah FC. – HARAKAHDAILY 18/5/2024