KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan rawatan terbaik diberikan kepada pemain bola sepak dan atlet kayak kebangsaan, Faisal Halim dan Siti Nurul Masyitah Elias yang kini sedang menjalani proses penyembuhan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, proses pemulihan kedua-dua atlet itu turut membabitkan rakan strategik iaitu Institut Sukan Negara (ISN) yang menawarkan rawatan pemulihan serta fisiologi.
“Memang Faisal Halim kini belum lagi ke arah sembuh, tetapi dia sedang melalui proses penyembuhan.
“Setiap agensi berkaitan contohnya ISN serta rakan strategik lain sama-sama membantu pemulihan malah Faizal juga kita sudah tawarkan rawatan rehabilitasi dan fisiologi di ISN,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Belia Negara 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini. Turut hadir pada Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohammad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohd Saipuddin Zakaria.
Beliau memberitahu, KBS sangat mengambil berat keselamatan atlet, malah pihaknya juga sedaya mungkin menawarkan prasarana terbaik dalam proses penyembuhan mereka.
Berhubung keadaan Faisal, 26, Adam berkata, keadaan tonggak Harimau Malaya yang disimbah asid pada 5 Mei lalu itu belum pulih sepenuhnya dan memohon agar ruang untuk kesembuhan diberikan kepada pemain Selangor FC itu.
“Sama-samalah kita berdoa semoga proses penyembuhan ini berjalan baik dan lancar. Beliau kini memang dikawal rapi oleh pihak hospital dan kawasalan keselamatan, nak ziarahpun bukan mudah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 18/5/2024