KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan memperkasakan anak muda dengan pelbagai aktiviti memandangkan mereka penerus legasi kepimpinan masa hadapan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, hasrat kerajaan negeri telah dinyatakan melalui Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam yang (PMBI) yang telah dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
“Arahan kerja keenam, anak muda sebagai generasi masa hadapan hendaklah disantuni dengan sebaiknya.
“Melalui dokumen PMBI ini, kerajaan negeri melihat golongan anak muda sebagai individu ataupun kumpulan yang perlu diambil perhatian kerana mereka penerus legasi kepimpinan masa depan negeri Kelantan dan juga kepimpinan negara,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Hari Belia Negara peringat negeri itu dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim. Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sempena sambutan peringkat negeri, antaranya persembahan pentas, Belia Berselawat, Jualan Rahmah Madani, Karnival Rakan Muda Mudi dan lain-lain lagi.
Zamakhshari memberitahu, di peringkat kerajaan negeri, pelbagai program telah dirancang untuk belia sama ada melalui agensi kerajaan mahupun melalui kerjasama agensi kerajaan Persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan belia.
“Demi pembangunan belia Kelantan, kerajaan juga sentiasa menyambut baik ruang-ruang kolaborasi dari pelbagai pihak terutamanya dari agensi kerajaan, NGO belia serta sektor korporat.
“Namun perlu direnungkan, jika penghulu disanjung dengan adatnya, orang alim disanjung dengan kajinya, manakala orang muda disanjung dengan mudanya,” katanya lagi.
Menurutnya, HBN adalah panggung mengangkat darjat dan martabat kepemudaan dan kepemudian anak muda Malaysia.
Sementara itu, Dr Norhidayah Mat Taib dari Gua Musang dinobatkan sebagai penerima tempat pertama Anugerah Belia Negeri bagi kategori wanita manakala Muhammad Baihaki Othman dari Jeli bagi kategori lelaki. Kedua-dua pemenang menerima RM3,000.
Sementara itu Kelab Belia Kampung Baru Pak Hussin Pasir Mas muncul johan bagi kategori pertubuhan belia paling aktif yang menerima hadiah RM10,000, tempat kedua dimenangi Pergerakan Pemuda Malaysiq (YMM) dari Gua Musang yang menerima hadiah RM5,000 dan tempat ketiga dimenangi Kelab Belia Seri Warisan Pusaka Kemunchup dari Machang dengan hadiah RM3,000. – HARAKAHDAILY 18/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!