Serangan di BP Ulu Tiram:  Agong zahir ucapan takziah buat mangsa 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar menzahirkan ucapan takziah kepada dua anggota polis yang terkorban, Konstabel Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said  dalam serangan di Balai Polis (BP) Ulu Tiram, Johor, hari ini.

Baginda turut menzahirkan kesedihan berhubung insiden yang dilaporkan berlaku pada jam 2.54 pagi tadi itu. 

- Advertisement -

“KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram, pada hari ini (17 Mei).

“Al-Fatihah buat dua wira negara yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah kenyataan menerusi laman Facebook milik baginda. 

Terdahulu, negara dikejutkan dengan kejadian dua anggota polis maut, manakala seorang cedera apabila ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kepada pihak media selepas melawat ke lokasi kejadian, dan memaklumkan insiden berkenaan membabitkan suspek yang bertopeng serta bersenjatakan pistol dan parang. 

“Suspek menetak dan menembak mati dua anggota polis, selain mencederakan seorang lagi anggota.

“Suspek masuk melalui pintu belakang dan ketika itu anggota terbabit pergi ke bahagian berkenaan untuk memeriksa, sebelum ditetak suspek,” katanya.

Setakat ini, lima individu berusia dari 19 hingga 62 tahun yang terdiri daripada ahli keluarga suspek dan dua orang awam telah ditahan bagi membantu siasatan. – HARAKAHDAILY 17/5/2024

- Advertisement -