Serangan di Balai Polis Ulu Tiram: PAS gesa siasatan menyeluruh

Balai Polis Ulu Tiram, di Johor diserang suspek bertopeng dalam kejadian pada awal pagi hari ini, 17 Mei 2024.
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: PAS merakamkan takziah kepada keluarga dua anggota polis yang meninggal dunia dalam insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram di sini, awal pagi ini (17 Mei).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, semoga kedua-dua pahlawan negara ini dirahmati Allah SWT dan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar siasatan menyeluruh segera dilakukan terhadap punca yang mendorong penyerang bertindak sedemikian. 

- Advertisement -

“Kawalan dan kaedah berurusan di balai polis yang merupakan lokasi kritikal juga perlu dinilai semula agar menepati ciri-ciri keselamatan terutama di waktu tengah malam yang tentunya mempunyai bilangan anggota bertugas yang terhad.

“Serangan ini merupakan satu detik hitam dalam sejarah perkhidmatan Polis Diraja Malaysia. Ia hampir mengulangi sejarah serangan ke atas Balai Polis Batu Pahat pada tahun 1980 dulu oleh sekumpulan pengikut ajaran sesat.

Bezanya kali ini, ujar beliau, dua anggota polis meninggal dunia berbanding serangan di Batu Pahat yang mengakibatkan kecederaan beberapa orang anggota polis.

Ahmad Fadhli Shaari

“PAS meminta rakyat bertenang dan memberikan ruang selesa kepada pihak polis dan KDN bertindak dan melakukan siasatan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Dalam kejadian jam 2.54 pagi tadi, dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram, yang terletak di Jalan Kota Tinggi, Taman Mutiara Rini, Ulu Tiram.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dalam kenyataan media pada hari ini berkata, suspek telah ditembak mati di lokasi.

Menurut beliau, dalam insiden tersebut, suspek lelaki bertopeng dan berpakaian gelap yang bersenjatakan parang menyerang dua anggota polis bertugas sebelum  bertindak merampas dua laras senjata, lalu  melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.

Menurut kenyataan mangsa yang terkorban dikenali sebagai Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang ditetak di bahagian belakang leher dan kepala, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said (ditembak di bahagian perut dan lengan).

“Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital yang sama,” katanya.

Dalam kenyataan terkini, pihak polis berkata, suspek adalah dipercayai ahli Jemaah Islamiyah (JI).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang media tadi berkata, susulan kejadian itu, polis melakukan serbuan di rumah suspek di Ulu Tiram dan menahan lima ahli keluarga lelaki terbabit, berusia 19 hingga 62 tahun.

Beliau juga memaklumkam telah mengarahkan Bahagian Cawangan Khas untuk mengesan dan mengenal pasti ahli JI yang berada di negeri Johor, dianggarkan berjumlah lebih 20 orang. – HARAKAHDAILY 17/5/2024

- Advertisement -