Serang balai polis: Islam hindari ekstremisme

Ahmad Nawfal Mahfodz
- Advertisement -

JOHOR BAHRU:  Pemuda PAS Negeri Johor menyeru agar semua masyarakat kembali kepada kefahaman agama Islam yang sebenar dan mengamalkan secara bersederhana (wasatiyyah).

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz berkata, apabila disentuh mengenai cara hidup wasatiyyah ia juga perlu dilepaskan atau dibebaskan dari belenggu fahaman liberal.

Beliau menyatakan perkara itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Dewan Pemuda PAS Johor sebagai mengulas kejadian serangan terhadap Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi.

“Pemuda PAS Johor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota polis yang terkorban sewaktu serangan di Balai Polis Ulu Tiram pagi tadi.

“Pemuda PAS Johor berasa kesal perkara ini berulang kembali dan menyifatkan insiden seperti ini sebagai satu tindakan yang melampau. Sejarah 43 tahun dahulu pada tahun 1980, Balai Polis Batu Pahat diserang oleh kumpulan ajaran sesat,” ujarnya.

Kata beliau, Pemuda PAS Johor menyeru seluruh masyarakat Malaysia khususnya golongan pemuda untuk memahami dan mengetahui mengenai bahaya fahaman ekstremis.

Tambahnya, fahaman atau ideologi melampau ini memecahkan tembok kemakmuran dan keharmonian masyarakat. 

“Perlu di ketahui bahawa fahaman ini tidak terikat dengan mana-mana agama mahupun kaum kerana setiap negara wujudnya kelompok ekstremis mereka yang perlu dibanteras,” katanya.

Katanya lagu, Pemuda PAS Johor berharap rakyat Malaysia terutamanya rakyat Johor tidak lagi terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perbuatan ektremis dan melampau ini. – HARAKAHDAILY 17/5/2024

- Advertisement -