Sekolah Tahfiz di PPA Machang ketiga di Malaysia

- Advertisement -

MACHANG: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan kerjasama Pejabat Penjara mewujudkan Sekolah Tahfiz al Quran al Furqan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang.

- Advertisement -

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra bertitah usaha tersebut merupakan salah satu usaha MAIK untuk memperkasakan amalan keagamaan dalam masyarakat.

Malah baginda bertitah, individu yang tersalah langkah dalam kehidupan perlu diberikan perhatian sewajarnya agar dapat kembali menghayati nilai sebenar.

“Beta dimaklumkan persediaan penubuhan sekolah ini membabitkan peruntukan disalurkan MAIK bagi melaksanakan pengubahsuaian blok sedia ada supaya memenuhi standard institusi tahfiz.

“Beta juga menzahirkan rasa kesyukuran tidak terhingga atas kejayaan penubuhan sekolah tahfiz al-Quran yang pertama di penjara di Kelantan dan yang ketiga di Malaysia,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Seko lah Tahfiz al-Quran al-Furqan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), petang semalam.

Sekolah tahfiz penjara itu dibina di sebuah blok bangunan PPA Machang melalui peruntukan MAIK berjumlah RM122,234 dan mula beroperasi 13 November lepas melibatkan 30 penghuni.

Tengku Muhammad Fakhry Petra berharap agar prospek dapat menggunakan kemudahan yang disediakan MAIK dan Jabatan Penjara di pusat tahfiz dengan sebaik mungkin.

Baginda menggesa masyarakat memberi sokongan sehingga mereka dapat memberi sumbangan termasuk berkhidmat di masjid seperti imam dan bilal apabila bebas kelak.

“Usaha baik ini tidak seharusnya menjadi seperti melepaskan batuk di tangga, sebaliknya kelangsungan program ini mesti dilaksanakan melalui program pentarbiahan berterusan kepada prospek.

“Ia dengan mengadakan program pengukuhan hafazan dan keterlibatan dalam aktiviti keagamaan sebagai persediaan kembali ke dalam komuniti kelak,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 17/5/2024

- Advertisement -