
TANGGA BATU: Masalah bekalan air untuk mengairi kawasan sawah padi yang masih berterusan hingga kini sejak sekian lama ia berlaku telah menghantui para pesawah di Kampung Pinang, Klebang, di sini.
Menurut salah seorang pesawah di situ, Gafar Mahmud, 58, perkara tersebut telah menyebabkan sawah yang diusahakan beliau dan para pesawah lain pada musim lepas menghasilkan kuantiti padi sangat rendah.
“Sawah saya dalam 10 ekar. (Tetapi) Padi yang saya dapat musim lepas cuma 400 kilogram (sahaja). Sepatutnya untuk keluasan macam tu boleh dapat sehingga 18 tan.
“Jadi musim lepas tu macam saya seolah tak dapat apa. Saya rugi banyak. Tapi nak buat macam mana,” kesannya yang memaklumkan perkara itu berlaku akibat sawah menjadi kering kerana kekurangan air sewaktu padi sedang bunting.
Beliau menyatakan perkara ini kepada Harakahdaily sewaktu menerima alat penabur benih padi yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.
“Saya ucap terima kasih kepada YB Bakri atas bantuan ini. Mesin ini penting sebab kalau tak ada mesin ini kita terpaksa menyemai secara manual. Agak susahlah.
“Saya mohon pada beliau sebulan lepas. Alhamdulillah hari ni beliau dah bagi pada saya. Terima kasih banyak-banyak,” ujarnya semalam.
Bakri dalam pada itu berkata, beliau sudah membangkitkan isu masalah bekalan saliran air sawah yang dialami pesawah di situ hingga ke peringkat Parlimen.
“Dalam Persidangan Dewan Rakyat yang lepas saya sebagai Ahli Parlimen kawasan ini telah membawa isu ini sehingga ke Kamar Khas bagi membincangkan perkara ini.
“Pihak Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) telah dimaklumkan tentang perkara ini dan saya harap pihak kementerian akan bertindak segera,” ujarnya.
Tambahnya, sebagai Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menerima peruntukan kerajaan, beliau tetap berusaha setakat termampu untuk membantu pesawah seperti peralatan diserahkan itu.
“Saya tak dapat bagi banyak bantuan. Sebab semuanya guna duit sendiri dan ada juga sumbangan orang ramai. Jadi kemampuan kami terhad. Tapi kami tetap bantu mana termampu,” ujarnya.
Namun tambah Bakri, beliau tetap membantu dalam menyalurkan masalah pesawah dan rakyat untuk perhatian agensi-agensi kerajaan berkaitan seperti membangkitkan isu-isu tersebut di Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 17/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!