Kek Hari Guru: Diskriminasi politik Madani

- Advertisement -

TANGGA BATU: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin menzahir rasa sedih dan dukacita atas kesukaran serta halangan yang dihadapi semasa menyerahkan kek sambutan Hari Guru ke sekolah-sekolah dalam kawasannya semalam.

- Advertisement -

Menurut beliau, perkara bersifat diskriminasi politik tersebut tidak wajar berlaku sedangkan pihaknya sekadar mahu menghargai jasa pendidik yang banyak berjasa membentuk anak-anak Tangga Batu sehingga berjaya. 

Tambah beliau, aktiviti tersebut telah menjadi rutin pusat khidmatnya pada setiap tahun tanpa masalah, namun beliau difahamkan bahawa pada tahun ini terdapat arahan agar pihak sekolah tidak menerima sumbangan seumpama itu.

“Tahun lepas pun kita buat perkara yang sama, tidak ada masalah. Tetapi pada tahun ni kita difahamkan memang ada arahan dari pihak atasan tidak membenarkan pihak dari parti politik pembangkang menghantar kek.

“Walaupun begitu kami turut juga menghantar kek-kek ini. Bukan apa, sebagai tanda terima kasih kami kepada guru-guru khususnya dalam Parlimen Tangga Batu kerana jasa mereka besar mereka mendidik anak-anak warga Tangga Batu,” ujarnya.

Katanya, sebagai Ahli Parlimen menjadi tanggungjawab beliau untuk mengucapkan terima kasih kepada para pendidik terutama di dalam kawasan Parlimennya itu melalui sumbangan kek tersebut. 

“Cuma malangnya kek tu hanya boleh sampai ke pondok jaga sahaja kerana petugas-petugas Pusat Khidmat Parlimen tak dibenarkan masuk. Tetapi walaupun begitu, tak apalah. 

“Cuma apa yang macam kita rasa sebenarnya, sepatutnya kita setelah 70 tahun Merdeka, budaya politik kita ni sepatutnya makin lebih matang dan sejahtera, lebih harmoni.

“Jadi apabila kita dihalang masuk ke sekolah seperti ini, bagi saya, kita sebenarnya bukan maju ke depan, tetapi kita mundur jauh ke belakang,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di Pusat Khidmatnya, di sini, hari ini.

Tambah Bakri, perkara sedang berlaku itu membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH) yang sebelum menjadi kerajaan memperjuangkan penghapusan diskriminasi politik, kebebasan bersuara dan reformasi institusi gagal untuk melakukan perubahan diperjuangkan dulu.

“Kita lihat diskriminasi politik ini berlaku sama sahaja seperti zaman pemerintahan BN berpuluh tahun dulu. Iyalah, kita pun faham, PKR ini pun datang dari ‘rahim’ Umno.

“Sedangkan saya sendiri sebagai Ahli Parlimen, yang merupakan sebahagian daripada juzuk dalam kerajaan, bukan parti politik semata, tetapi didiskriminasi sebegini rupa,” ujarnya kesal.

Kebimbangan beliau terhadap perkara yang berlaku itu ialah ia sebenarnya akan memulakan satu sentimen negatif dalam kalangan pelajar-pelajar dalam dunia tanpa sempadan.

Jelasnya, perkara itu bukan suatu perkara yang sepatutnya menjadi budaya sehingga dilihat negatif oleh para pelajar sekolah hingga akhirnya menggagalkan usaha membentuk masyarakat progresif.

Sementara itu, salah seorang kakitangan Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu, Zahar Yunus menzahirkan rasa terkejut apabila dimarahi seorang pengawal keselamatan salah sebuah sekolah semasa menghantar sumbangan itu.

“Masa itu kami nak hantar kek. Pengawal tu kata letak sahaja di pondok jaga dan tak boleh hantar ke dalam sekolah. Dalam masa yang sama seorang lagi rakan saya cuba mengambil gambar kami untuk tujuan laporan pentadbiran aktiviti.

“Tiba-tiba pengawal tu perasan, terus dia marah, ‘kenapa ambil gambar?’, kata pengawal tu. Saya pun terkilan, sampaikan nak ambil gambar pun tak boleh,” ujarnya.

Beliau turut kecewa dengan apa yang berlaku itu menunjukkan sikap tidak profesional pihak sekolah, namun beliau percaya itu adalah akibat tekanan politik pihak atasan.

“Tetapi bukan semua jabatan kerajaan yang bersikap begitu. Banyak juga jabatan-jabatan kerajaan lain yang kita pergi yang okay. Mungkin sebab arahan yang tular itu agaknya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2024

- Advertisement -