‘Jangan beri ruang syarikat pro-Israel bertapak di Malaysia’ 

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS tidak akan sesekali berkompromi dengan apa-apa perkara yang membabitkan Israel termasuklah isu sebahagian saham pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang dikatakan dijual kepada syarikat pro-Zionis.

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, saham pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) juga dimiliki oleh Rakan Kongsi Kerjasama Global (GIP) yang merupakan anak syarikat kepada sebuah syarikat dari Amerika Syarikat pro-Zionis, Blackrock. 

- Advertisement -

“Blackrock merupakan pemilik kepada pemegang saham semua syarikat pembekal senjata yang membolehkan Israel terus melakukan genosid ke atas rakyat Palestin.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku, dan sebarang syarikat pro-Israel tidak seharusnya diberi ruang untuk bertapak di Malaysia, lebih-lebih lagi di tempat-tempat strategik seperti lapangan terbang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) berkata, Malaysia sudah jelas dan tegas dengan pendirian bahawa tidak akan menormalisasikan sebarang hubungan dengan Israel.

“Hatta, hubungan perdagangan sekalipun kerana keuntungan-keuntungan inilah yang membolehkan Israel terus menggila di bumi Palestin. 

“Dalam pada itu, apakah signifikannya syarikat ini diberi kebebasan untuk memiliki saham di MAHB sedangkan rekod-rekod pengurusannya di lapangan-lapangan terbang lain yang dimilikinya dilihat teruk dan gagal,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, turut kesal dengan keadaan yang sedang berlaku kini dan menuntut penjelasan daripada pihak berkenaan, terutamanya pihak kerajaan yang dilihat hanya berdiam diri sehingga kini.

Justeru, Pemuda PAS ingin menegaskan bahawa sebarang hal atau perkara yang mempunyai hubungan dengan Israel perlu dibatalkan serta-merta tanpa kompromi. 

“Tiada guna hanya suara lantang di peringkat antarabangsa, tetapi tindakan di belakang lain nadanya,”  katanya. – HARAKAHDAILY 17/5/2024

- Advertisement -