Jabatan Penjara mahu kembang kelas tahfiz seluruh negara

- Advertisement -

MACHANG: Penubuhan sekolah tahfiz di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang merupakan yang ketiga di negara ini selepas Penjara Kluang Johor dan Penjara Kajang Selangor.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Dato’ Nordin Muhamad berkata, usaha itu dibuat dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Menurutnya, penubuhan Sekolah Tahfiz al Quran al Furqan memberi peluang kepada prospek mendalami pengajian hafazan al Quran yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama.

“Saya difahamkan MAIK meluluskan peruntukan bernilai RM122,234 bagi menyediakan sekolah tahfiz dengan fasiliti yang lengkap dan melantik guru tahfiz.

“Jabatan Penjara Malaysia juga berhasrat mengembangkan kelas atau sekolah tahfiz di institusi penjara seluruh negara dengan Kerjasama jabatan dan agensi agama Islam negeri,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Sekolah Tahfiz al-Quran al-Furqan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang yang dirasmikan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, petang semalam.

Nordin juga berkata, penglibatan pihak berkuasa agama di negeri-negeri sangat penting bagi membantu lepasan tahfiz terbabit mendapat sijil, diploma atau kelulusan setaraf untuk mendapatkan pekerjaan.

Beliau turut menasihat anggota masyarakat tidak memandang rendah terhadap golongan yang pernah bergelar banduan.

“Kami berusaha untuk memastikan kejayaan lebih baik golongan terbabit di mana Jabatan Penjara Malaysia turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi selepas individu berkenaan keluar penjara,” ujarnya.

Sekolah tahfiz penjara itu dibina di blok bangunan PPA Machang mulai beroperasi 13 November tahun lepas melibatkan 30 penghuni. – HARAKAHDAILY 17/5/2024

- Advertisement -