RM200 juta supaya Kedah kekalkan Jelapang Padi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah wajar mendapat hak negeri ini di atas pengorbanan untuk tidak menukar status tanah pertanian Jelapang Padi kepada pembangunan lain semata-mata demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit sehubungan itu menyokong dan menyifatkan tuntutan pampasan RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan yang dimohon Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai amat munasabah.

“Pampasan RM200 juta setahun (dimohon) itu bukanlah manfaatnya kepada kerajaan negeri ketika ini sahaja, tetapi juga faedah untuk masa hadapan.

“Kerajaan Persekutuan lebih maklum keperluan negeri ini yang terpaksa berkorban menggunakan tanah pertaniannya untuk penanaman padi demi kepentingan rakyat Malaysia,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Menurutnya, isu berkenaan kerap kali dibangkitkan beliau di Sidang Dewan Rakyat, malah Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Awang Hashim dan Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman turut memperjuangkannya.

“Politik ini dinamik dan boleh berubah-ubah pemerintahnya. Keputusan atau pelaksanaan yang dibuat ketika ini juga akan memberi kesan pada masa akan datang.

“Oleh itu apa yang dilakukan oleh Menteri Besar sekarang secara tak langsung menguntungkan kerajaan serta rakyat masa akan datang,” tegasnya lagi.

Sanusi memaklumkan tuntutan pampasan sebanyak RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Kata beliau, pihaknya terpaksa melepaskan potensi unjuran hasil dianggar RM100 juta setahun apabila kawasan sawah padi yang telah diperuntukkan untuk pembangunan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di bawah Rancangan Pembangunan Daerah (RTD) perlu dikekalkan untuk penanaman padi.

Justeru itu kata Sabri, semua pihak juga diminta supaya mengelakkan persepsi politik kepartian sebaliknya memiliki sikap untuk turut bersama-sama mendukung satu wadah yang sama ke arah membangunkan negeri ini.

“Meletakkan Kedah sebagai negeri penyumbang beras negara kini seakan menyebabkan negeri ini pula menanggung kerugian berbanding negeri-negeri lain (berbanding potensi dan manfaat lain yang ada)

“(Oleh itu sepatutnya) Saranan dan tuntutan yang dibuat oleh Menteri Besar itu wajar disokong demi kebaikan generasi akan datang (tanpa dipolitikkan),” ujar beliau lagi.- HARAKAHDAILY 16/5/2024

- Advertisement -