Polis buka siasatan aktiviti memasak di stesen minyak

Superitendan Zaiham Mohd Kahar.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan mengenai tindakan sekumpulan individu yang melakukan aktiviti memasak di kawasan sebuah stesen minyak di Genting Highlands, Pahang seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung klip video berkait dengan aktiviti berkenaan.

- Advertisement -

Menurutnya, ia dipercayai dilakukan sekumpulan pemilik kenderaan sehingga menimbulkan kebimbangan dan kegusaran kepada masyarakat, khususnya berhubung faktor keselamatan.

“Hasil siasatan mendapati, klip video tersebut telah tular melalui laman sosial X dan dimuat naik pada 13 Mei lalu,”

“Kes disiasat di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu satu kesalahan menyebabkan kegusaran am kepada orang awam dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain,” katanya.

Menerusi video yang tular di laman media sosial itu memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan Honda Jazz telah melakukan aktiviti memasak mi segera di kawasan stesen minyak berkenaan sehingga menyebabkan kesesakan teruk dan mengganggu pengguna lain.

Oleh yang demikian, beliau memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan, dan memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan tegas serta membuat operasi bersepadu di sekitar lokasi stesen minyak berkenaan khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.

“Ini kerana kita mendapat maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik-pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya lain,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 16/5/2024

- Advertisement -