Pemain TFC jalani latihan secara tertutup

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu FC (TFC) menjalani latihan secara tertutup tanpa kehadiran penyokong ekoran kes serangan yang berlaku kepada pemain sayapnya, Muhammad Akhyar Rashid baru-baru ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, keputusan itu diambil bagi menjaga keselamatan pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Kita dapati pergerakan Akhyar ini diikuti oleh pelaku. Bila berlaku demikian kita ambil langkah drastik, dia (pelaku) mengikuti dari pusat latihan, jadi kita perlu hentikan pandangan daripada mana-mana pihak untuk memantau pergerakan pemain kita.

“Ini pun nasihat daripada polis. Lepas daripada kes insiden Akhyar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama sekali mengenal pasti semua alamat rumah pemain kita.

“Kedua, dia minta semua pergerakan pemain kita ini dilaporkan kepada pihak PDRM,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Dan Hi-Tea Rakan Penaja TFC, di Cindai Ballroom, Duyong Marina & Resort, Pulau Duyung, di sini, hari ini. (Foto atas)

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Mohd Sabri Abas dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong.

Bagaimanapun, menurut Hishamuddin, keputusan membuka balik pusat latihan bola sepak untuk dihadiri orang ramai atau penyokong akan dibuat apabila keadaan kembali tenang.

“Jadi untuk mengelak perkara ini kita terpaksa tutup sementara, kita tak kata tutup sampai bila-bila, sementara, sehingga kes ini ada tempoh cooling period dia kita fikir balik untuk buka,” katanya.

Menurut beliau, beberapa penambahbaikan telah dibuat di kawasan pusat latihan bola sepak antaranya pemasangan kamera tertutup oleh kompleks sukan.

“Terdahulu kita tidak boleh nak jejak siapa yang sebenarnya memantau, jadi kita sudah tingkatkan keselamatan ini demi pemain pasukan kita.

“Sebenarnya bola sepak kita tidak suka tertutup sebab ia bersifat kekeluargaan tapi kerana pencemaran yang dibuat oleh pelaku ini menyebabkan kesan kepada orang lain,” ujarnya.

Mengulas berhubung perkembangan terkini daripada pihak polis, kata beliau, dimaklumkan siasatan telah diserahkan kepada Bukit Aman.

“Saya harap kes ini kes terakhir, tak pernah berlaku serangan fizikal seperti ini dalam dunia bola sepak untuk negara kita, secara agak ganas khususnya dalam kes Faizal Halim.

“Jadi bila berlaku demikian kita harap itu peristiwa terakhir selepas daripada ini balik kepada positif suasana yang lebih tenang dan semangat kesukanan.

“Pasukan-pasukan kita lebih harmoni bertembung antara satu sama lain di atas padang, di luar padang bawa hal masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2024

- Advertisement -