Hari Guru: Ustaz Bob lahirkan tiga pemimpin

- Advertisement -

KANGAR: Ustaz Bokhari Salleh, 63, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Bob, banyak menggunakan pendekatan psikologi dalam peranan beliau mendidik anak-anak muridnya.

- Advertisement -

Berasal dari Sik Kedah, beliau telah berkhidmat sebagai guru selama lebih 30 tahun dan memilih menghabiskan sisa kehidupannya dengan menetap di negeri ini.

Selama berkhidmat sebagai guru, tiga orang anak murid beliau telah menjadi wakil rakyat iaitu ADUN Beseri, Haziq Asraf dan ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim seeta bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad.

Pendekatan psikologi digunakan beliau adalah dengan lebih mengutamakan nasihat dan teguran yang lembut tetapi berkesan, walaupun sering tampil membawa rotan sebagai simbol disiplin.

Tetapi beliau amat jarang menggunakan rotan tersebut, sebagai contoh dalam menangani kes merokok, beliau akan menggunakan pendekatan hingga membuat pelajar mengakui perbuatan mereka tanpa paksaan.

“Saya lebih suka guna pendekatan psikologi, rotan ini ada sedia dalam poket tapi tak (tidak) rotan pun. (Nak) Selesai kes budak-budak ini, Contohnya macam kes merokok, (biasanya) pelajar tidak akan mengaku.

“Tapi bila ustaz tau (tahu) ada sorang merokok, saya akan tanya, contohnya, ‘Ali tadi hisap Dunhill ka?’ Dia jawab, ‘Ya Dunhill’. Maksudnya betullah tu dia hisap rokok, jadi begitulah,” ceritanya.

Ustaz secara zahirnya kelihatan masih kuat dan difahamkan tidak menghidap sebarang penyakit ketika ditemui di kediaman beliau di Taman Harmoni, di sini.

“Alhamdulillah, nikmat paling besar ialah kesihatan selain dari iman dan Islam, Allah bagi sihat sampai sekarang. Saya selalu bersenam, naik basikal sampai ke Padang Besar kadang, pagi-pagi berjalan pergi ke kedai,” ujarnya lagi.

Sempena Sambutan Hari Guru yang disambut hari ini, Haziq melawat Ustaz Bob di kediaman beliau tersebut bagi mengimbau kenangan indah bersama gurunya itu, semalam.

Ujar Haziq, nasihat dan teguran Ustaz Bob semasa beliau di tingkatan empat dan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma sangat bermakna dan memberi kesan mendalam. 

“Teguran ustaz kita anggap seperti teguran seorang ayah kepada anak, yang menyebabkan nasihatnya mudah meresap ke dalam hati para pelajar,” katanya.

Ustaz Bob disifatkan sebagai seorang yang garang tetapi bersahaja dan suka bergurau, menjadikan suasana pembelajaran seronok dan tidak membosankan.

Ustaz Bob menyatakan kebanggaannya terhadap pencapaian bekas pelajar beliau, terutama Haziq yang menunjukkan sifat kepemimpinan sejak di bangku sekolah. 

Beliau menasihatkan Haziq agar terus ikhlas berkhidmat kepada rakyat dan turut mendoakan kesejahteraan bekas pelajarnya itu.

“Saya anggap Haziq dan bekas-bekas pelajar lain sebagai anak dalam memberi didikan. Teguran atau nasihat kepada mereka (pelajar) adalah seperti seorang ayah.

“Nasihat saya kepada Haziq Asyraf yang berada dalam dunia politik agar terus ikhlas berbakti kepada rakyat dan moga sentiasa sihat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/5/2024

- Advertisement -