Guru korbankan elaun demi kafe

- Advertisement -

KUCHING: Seorang guru yang mengajar di sebuah kawasan pedalaman sanggup mengorbankan elaunnya bertugas di Sarawak demi sebuah kafe.

Dia bukanlah berhabisan untuk berbelanja untuk makan dan minum di kafe kegemarannya, tetapi sebaliknya mengusahakan apa yang dinamakannya sebagai The Class Cafe.

- Advertisement -

Itu bukan kafe yang diusahakanya atas dasar bisnes tetapi lahir daripada niat murni bermatlamat bagi menceriakan kelas di sekolah tempat dia bertugas.

Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kut Daro, Muhammad Tarmizi ini berjaya mengubah suasana sekolah dan kelasnya yang kusam menjadi lebih kondusif, moden dan ceria untuk menarik minat murid datang ke sekolah dan belajar dengan keadaan yang menyeronokkan.

Menurutnya, dia yakin dan percaya bahawa ramai rakan-rakan seperjuangannya akan membuat sehabis baik untuk mendidik anak-anak bangsa dan sanggup menghabiskan wang ringgit untuk kemenjadian seseorang murid itu.

“Saya gunakan sedikit elaun pedalaman untuk mencantikkan kelas dan ada rezeki lebih, kita akan buat lebih lagi,” ulasnya di Facebook miliknya sendiri.

Cikgu Tarmizi juga turut berkongsikan bagaimana timbul minat untuk menjadi seorang.

Kisahnya bermula daripada bapanya yang berminat menjadi seorang guru tetapi apakan daya, dia hanya mampu bersekolah sehingga darjah 4 sahaja.

Maka, dari situlah Cikgu Tarmizi menanam azamnya untuk merealisasikan impian bapanya itu.

“Saya mempunyai 11 orang adik beradik dan saya anak yang ke 8. Alhamdulillah, 8 orang adik-beradik saya menjadikan guru sebagai kerjaya, selebihnya kerjaya masing-masing.

“Laluan saya menjadi guru pula agak berliku memandangkan keputusan peperiksaan tidak berapa baik tetapi berkat doa dan usaha, saya berjaya menjadi guru” kongsinya.

Dia juga sempat menyatakan ucapan terima kasih dan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada ibu dan bapanya kerana menjadi ‘guru’ pertama dalam hidupnya.

Semoga kegigihan usaha dan pengorbanan Cikgu Tarmizi sebagai seorang guru dapat menjadi teladan kepada semua pendidik dan juga bagi memperingati jasa guru pada Hari Guru pada hari ini, 16 Mei 2024. – HARAKAHDAILY 16/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!